'Kami terkejut, semalam Allahyarham begitu ceria, mesra' – Mokhzani

'Kami terkejut, semalam Allahyarham begitu ceria, mesra' – Mokhzani

Putrajaya: Keluarga Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali masih terkejut dengan pemergian Allahyarham kerana beliau dilaporkan ceria dan mesra ketika dirawat di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur, semalam.

Anak Allahyarham, Tan Sri Mokhzani Mahathir, berkata mereka sekeluarga berada bersama ibunya di IJN sehingga semalam dan tidak menyangka keadaan berubah secara mendadak pagi tadi.

“Memang kami terkejut kerana semalam keluarga berada dengan Allahyarham di IJN… Begitu ceria, mesra.

“Tetapi pagi tadi ada perbezaan yang besar (kesihatan merosot) dan tidak dapat dipulihkan sebelum disahkan meninggal,” katanya ketika ditemui selepas Istiadat Pengebumian Pembesar Negara di Pusara Negara, Presint 20, di sini hari ini.

Mokhzani berkata, keluarga akan mengadakan majlis tahlil di kediaman mereka selepas solat Isyak malam ini, dan mungkin akan diteruskan esok dan pada hari ketiga.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang hadir memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham, selain Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta agensi kerajaan yang membantu memastikan urusan pengebumian berjalan lancar.

“Alhamdulillah, proses pengebumiannya selesai dengan selamat.

“Saya berterima kasih kepada semua yang datang. Saya juga nak ucapkan terima kasih kepada semua petugas kawalan, tentera, PDRM dan semua pihak yang memastikan pengebumian berjalan lancar serta memberi peluang kepada keluarga, sahabat dan kawan-kawan datang menziarahi,” katanya.

Mokhzani berkata, urusan berkaitan Allahyarham sejak dari IJN, ke rumah dan masjid sehingga pengebumian semuanya berjalan lancar hasil bantuan pelbagai pihak.

Ditanya mengenai kenangan terakhir bersama Allahyarham, beliau berkata terlalu banyak kenangan yang dikongsi bersama sehingga tidak mampu memilih satu sebagai yang terakhir.

“Tiada satu pun kenangan terakhir bersamanya (Allahyarham), sebaliknya ada sejuta kenangan.

“Saya gembira apabila kami sekeluarga dapat meluangkan masa kami bersamanya, malah keluarga kami kerap berkumpul setiap hari sejak bulan lalu, terlalu banyak kenangan,” katanya.

Ketika ditanya mengenai keadaan Tun Dr Mahathir Mohamad selepas kehilangan isteri tercinta, Mokhzani berkata bapanya akan baik-baik.

“Of course (Sudah tentu) hari ini ialah satu hari yang sangat-sangat luar biasa.

“He’ll be okay (Beliau akan baik-baik sahaja), insya-Allah,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top