300 atlet sertai Kejohanan Muay Thai Terbuka Melaka

300 atlet sertai Kejohanan Muay Thai Terbuka Melaka

Melaka: Seramai 300 atlet amatur dan profesional dari seluruh negara bakal menyertai Kejohanan Muay Thai Terbuka Melaka yang dijadual berlangsung pada hujung minggu ini di Dewan Tun Ali, Bukit Katil di sini.

Presiden Persatuan Muaythai Negeri Melaka (PMNM) Emrito @ Haris Alias berkata, kejohanan itu membabitkan penyertaan kelab-kelab dari negeri Pantai Timur, Johor, Kedah, Kuala Lumpur dan Selangor serta terbuka kepada peserta berusia antara 6 hingga 30 tahun.

“Kejohanan ini menawarkan jumlah hadiah keseluruhan RM15,000, merangkumi tiga acara utama iaitu tempur, muay boran dan wai kru dengan lapan kategori dipertandingkan mengikut berat badan iaitu 33 hingga 100 kilogram,” katanya pada sidang media di Ayer Keroh di sini hari ini.

Menurutnya, kejohanan itu turut berfungsi sebagai medan pemanas badan menjelang Kejohanan Muay Thai Kebangsaan di Kuala Lumpur pada bulan depan.

Emrito berkata, kejohanan itu juga menjadi antara usaha penting pembangunan akar umbi sukan muay thai serta platform mencungkil bakat baharu anak jati Melaka ke pentas kebangsaan dan sebagai persediaan menghadapi Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Selangor.

“Pemilihan atlet ke SUKMA 2026 akan melalui tiga fasa dan kejohanan ini fasa pertama bagi memilih 16 atlet terbaik mewakili Melaka ke peringkat kebangsaan nanti.

“Kita juga mensasarkan untuk membawa pulang sekurang-kurangnya satu pingat emas pada SUKMA 2026 selepas hanya meraih dua perak dan lima gangsa pada edisi terdahulu,” katanya.

Dalam perkembangan lain, PMNM kini dalam perancangan untuk menganjurkan kejohanan peringkat kebangsaan yang dijadual berlangsung di Alor Gajah pada Oktober ini, membabitkan penyertaan daripada lapan negara.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top