Kenakan caj mahal taktik licik 'ulat' KLIA

Kenakan caj mahal taktik licik 'ulat' KLIA

am@hmetro.com.my

Sepang: Kenakan caj penghantaran hampir dua kali ganda lebih tinggi untuk ke Kuala Lumpur dan kawasan sekitar.

Itu taktik dilakukan ‘ulat’ yang menawarkan perkhidmatan kereta sewa tidak berlesen atau secara haram di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur

(KLIA) Terminal 1 dan KLIA Terminal 2, di sini.

Pengarah Kanan Penguatkuasaan Undang-Undang Jabatan Pengangkutan Awam (JPJ), Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, taktik itu dikesan susulan penahanan seorang ulat berusia lingkungan 50-an ketika Ops Ulat di KLIA T1 dan KLIA T2, di sini, hari ini.

“Ulat ini mengenakan caj penghantaran tinggi di antara RM80 hingga RM150.

“Jumlah itu lebih mahal berbanding teksi biasa atau Limo di antara RM65.00 hingga RM80.00 sahaja,” katanya pada sidang media Ops Ulat di KLIA di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan (MOT), Datuk Jana Santhiran Muniayan, Pengarah JPJ Selangor, Azrin Borhan serta Timbalannya, Datuk Ahmad Kamarunzaman Mehat.

Muhammad Kifli berkata, dalam operasi itu JPJ menempatkan seramai 14 pegawai di Stesen Penguat kuasa (SPK) KLIA termasuk anggota penyamaran di Terminal 1 & Terminal 2 KLIA bagi membanteras kegiatan ini.

Beliau berkata, sepanjang tahun ini 80 berjaya ditangkap yang mana 69 daripadanya menggunakan kenderaan persendirian, 10 menggunakan kenderaan perkhidmatan awam manakala satu tanpa kenderaan pada Mac lalu.

Katanya, seramai 12 tangkapan membabitkan ulat warga Bangladesh, empat (Pakistan), satu (lain-lain), manakala selebihnya warga tempatan.

Katanya, JPJ Selangor sudah melucut hak kenderaan ‘ulat’ di bawah Seksyen 227 Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010.

Menurutnya, Orang Kena Saman (OKS) juga sudah dituduh di bawah Seksyen 205 dan dijatuhi hukuman denda sebanyak RM5,000.

Dalam pada itu, Muhammad Kifli berkata, JPJ akan mengambil tindakan tegas bagi membendung kegiatan ‘ulat’ ini kerana ia boleh merosakkan imej negara dan mendatangkan implikasi kepada ekonomi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top