Perkampungan Rohingya bukti kerajaan gagal – Armada

Perkampungan Rohingya bukti kerajaan gagal – Armada

SHAH ALAM – Kerajaan digesa mengemukakan pelan jangka panjang yang jelas dan tegas berhubung pengurusan komuniti Rohingya di Malaysia.

Exco Armada Bersatu, Na’im Brundage berkata, berdasarkan data Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) sehingga akhir Februari 2026, terdapat kira-kira 126,144 Rohingya yang berdaftar di Malaysia.

Menurutnya, jumlah itu berpotensi terus meningkat sekiranya kerajaan terus gagal mengambil tindakan yang tegas.

“Bagaimanapun perkampungan Rohingya di Hulu Langat bukti kegagalan kerajaan mengawal sempadan dan menguatkuasakan undang-undang. Kami melahirkan rasa kesal terhadap kerajaan dalam menangani isu lambakan Rohingya.

“Perlu ditegaskan bahawa Malaysia tidak menandatangani Konvensyen Pelarian 1951 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan tidak mengiktiraf status pelarian secara rasmi di bawah undang-undang negara.

“Oleh itu, kehadiran warga Rohingya di Malaysia tidak sepatutnya dibiarkan berleluasa, apatah lagi sehingga wujud perkampungan mereka sendiri,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan kewujudan sebuah bangunan empat tingkat yang dipercayai dibina tanpa kebenaran dan dihuni etnik Rohingya di Sungai Tekali, Hulu Langat.

Isu itu menjadi tular selepas penyampai radio dan pelakon, Azad Jasmin atau Pak Azad, berkongsi video yang memaparkan kewujudan penempatan etnik Rohingya di Sungai Tekali.

Video tular terbabit menunjukkan sebuah bangunan kediaman empat tingkat dengan struktur binaan yang dipercayai dibangunkan tanpa kelulusan pihak berkuasa.

Tambah Na’im, lebih membimbangkan, terdapat laporan bahawa ada dalam kalangan mereka telah membayar puluhan ribu ringgit kepada ejen untuk memasuki negara ini.

Jelasnya, jika benar perkara ini bukan lagi sekadar isu pengurusan pelarian tetapi melibatkan sindiket penyeludupan manusia yang tersusun dan berani beroperasi akibat kelemahan penguatkuasaan negara.

“Tindakan kerajaan hari ini yang semakin membuka ruang kepada komuniti ini untuk terus berkembang menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakyat tempatan.

“Dengan jumlah yang semakin meningkat, anak-anak yang lahir dan membesar di negara ini serta rangkaian komuniti yang semakin berakar.  Persoalan yang perlu dijawab ialah berapa lama lagi sebelum komuniti ini mula menuntut kewarganegaraan.

“Perlu diingatkan bahawa negara-negara lain di rantau ini tidak berdepan masalah pelarian Rohingya sebesar Malaysia kerana kawalan sempadan dan penguatkuasaan imigresen mereka lebih tegas,” ulasnya.

Beliau memberi contoh negara Singapura yang membuktikan bahawa kawalan keluar masuk negara yang ketat dan konsisten mampu mengelakkan lambakan seperti yang berlaku di Malaysia.

Mengulas lanjut Na’im berpendapat, kegagalan kerajaan menangani isu lambakan warga Rohingya ini secara menyeluruh bukan sahaja akan memberi tekanan kepada kemudahan awam.

Malah katanya, ia berisiko menimbulkan pelbagai implikasi sosial, ekonomi dan keselamatan yang boleh menjejaskan kesejahteraan rakyat tempatan.

Artikel Disyorkan

Scroll to Top