Kadar pengangguran meningkat pada April – DOSM

Kadar pengangguran meningkat pada April – DOSM

Putrajaya: Kadar pengangguran Malaysia kembali meningkat kepada 3.0 peratus pada April, merekodkan 511,800 jumlah penganggur, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

DOSM dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan kadar pengangguran pada bulan tersebut naik 0.1 mata peratus kepada 3.0 peratus daripada 2.9 peratus pada Mac, sekali gus kembali kepada paras yang pernah direkodkan pada Oktober 2025.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, bilangan penduduk bekerja terus meningkat pada April 2026, bertambah sebanyak 0.1 peratus kepada 16.82 juta orang berbanding bulan sebelumnya (Mac 2026: 16.80 juta orang).

“Kategori pekerja merangkumi 75.0 peratus daripada jumlah penduduk bekerja pada April 2026. Kategori ini meningkat sedikit 0.05 peratus kepada 12.61 juta orang (Mac 2026: 12.60 juta orang).

“Pada masa sama, bilangan penduduk bekerja sendiri terus menunjukkan trend peningkatan dan naik 0.2 peratus kepada 3.15 juta orang berbanding bulan sebelumnya (Mac 2026: 3.14 juta orang),” katanya dalam kenyataan itu.

Menjelaskan situasi pengangguran pada April 2026, Mohd Uzir berkata penganggur aktif, yang ditakrifkan sebagai mereka yang boleh bekerja dan sedang mencari pekerjaan, menyumbang 79.5 peratus daripada jumlah penganggur.

Kumpulan itu mencatatkan peningkatan sebanyak 0.3 peratus kepada 407,100 orang dan sejumlah 63.9 peratus daripada penganggur aktif menganggur selama kurang daripada tiga bulan, manakala 5.0 peratus menganggur lebih daripada setahun.

“Pada masa yang sama, penganggur tidak aktif, yang terdiri daripada mereka yang percaya bahawa tiada pekerjaan tersedia, meningkat 1.5 peratus kepada 104,700 orang berbanding 103,200 orang pada bulan sebelumnya,” katanya.

Mengenai prestasi tenaga buruh Malaysia secara keseluruhannya pada April, beliau berkata pasaran buruh negara terus menunjukkan pertumbuhan sederhana sepanjang bulan tersebut, mencerminkan perkembangan ekonomi yang stabil.

Justeru, tenaga buruh meningkat sedikit sebanyak 0.1 peratus kepada 17.33 juta orang berbanding 17.31 juta orang pada Mac 2026.

Sementara itu, kadar penyertaan tenaga buruh kekal tidak berubah pada 70.9 peratus, sama seperti pada bulan sebelumnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top