am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kesemua 3,000 rakyat Malaysia yang berdaftar dengan Kedutaan Malaysia di Perancis disahkan selamat ketika protes masih berlaku di negara itu.
Mengesahkan perkembangan itu, Duta Besar Malaysia ke Perancis, Datuk Eldeen Husaini Mohd Hashim, berkata setakat ini tiada rakyat Malaysia cedera atau terperangkap dalam protes yang dilaporkan bertukar ganas di beberapa lokasi sejak beberapa hari lalu.
“Alhamdulillah, setakat ini mereka semuanya selamat. Kita melakukan pemantauan secara berterusan, selain bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Perancis, dewan bandar raya dan Kementerian Luar bagi mengikuti perkembangan serta memberikan bantuan,” katanya.
Mengulas keadaan semasa di Paris hari ini, Eldeen Husaini berkata secara keseluruhannya tenang, walaupun protes masih berlaku di beberapa kawasan.
Katanya, beberapa lagi protes dijangka berlaku selagi tuntutan pelajar dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) belum dipersetujui kerajaan Perancis.
“Bagaimanapun, saya menjangkakan protes susulan berlaku dalam skala lebih kecil berbanding perhimpunan semalam,” katanya.
Eldeen Husaini turut menasihatkan rakyat Malaysia yang menetap atau berkunjung ke Perancis supaya sentiasa berwaspada, mengelakkan kawasan protes berisiko tinggi dan terus berhubung dengan pegawai kedutaan.
“Bagi mereka yang tinggal di Perancis, nasihat terbaik ialah mengelakkan sepenuhnya kawasan protes kecuali jika benar-benar perlu.
“Bagi pelancong yang merancang percutian, pantau keadaan dengan teliti dan pertimbangkan untuk menjadualkan semula perjalanan yang tidak penting sehingga keadaan reda,” katanya.
Eldeen Husaini turut menggesa semua pengembara dan pelancong Malaysia di Perancis supaya berdaftar dengan kedutaan bagi memudahkan urusan komunikasi serta penyaluran bantuan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




