Manchester: Manchester City terpaksa melupakan khidmat penyerang Antoine Semenyo selama lapan minggu selepas pemain antarabangsa Ghana itu mengalami kecederaan ketika membantu pasukan menewaskan Ipswich Town 3-2.
Pengurus City, Enzo Maresca berkata, fokus utama ketika ini adalah memastikan Semenyo menjalani proses pemulihan sebelum kembali beraksi pada Disember depan.
“Dia akan tersisih selama lapan minggu. Perkara paling penting sekarang ialah pemulihan. Apabila dia kembali pada Disember nanti, dia akan menjadi seperti pemain baharu,” katanya.
Semenyo dilihat berjalan terhincut-hincut menuju ke terowong pemain selepas perlawanan di laman sendiri menentang Ipswich itu, sekali gus menimbulkan kebimbangan mengenai tahap kecederaannya.
Bagaimanapun, City berkemungkinan mendapat khidmat penyerang utama Erling Haaland bagi aksi Liga Juara-Juara (UCL) menentang AEK Athens, Rabu ini.
Maresca berkata, Haaland berpeluang diturunkan, namun keputusan akhir hanya akan dibuat selepas sesi latihan pasukan.
“Dia mungkin boleh beraksi. Kita akan lihat selepas sesi latihan hari ini,” katanya pada sidang media praperlawanan.
City ketika ini menduduki tangga ke-17 dalam carta UCL selepas mengutip tiga mata daripada dua perlawanan.
Justeru, pertemuan dengan AEK Athens menjadi peluang penting buat skuad kendalian Maresca itu untuk memperbaiki kedudukan dalam saingan berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




