am@hmetro.com.my
Shah Alam: Selangor menerima kira-kira 30,000 permohonan sukarelawan sempena temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026 yang dijadual berlangsung Ogos ini.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata majoriti permohonan adalah dalam kalangan anak-anak muda yang ingin menjadi sebahagian daripada temasya dwi tahunan itu.
“Penyertaan bagi sukarelawan sangat memberangsangkan yang mana pada peringkat awal kita jangka untuk dapatkan sekitar 5,000 orang.
“Sekarang sudah 30,000 (permohonan) anak-anak muda yang mahu jadi sukarelawan… kita akan cuba ambil seramai mungkin supaya acara itu dapat berlangsung dengan lebih baik, teratur dengan bantuan mereka.
“Saya teruja dengan permohonan berlipat kali ganda dan saya minta maaf mungkin tak semua boleh kita libatkan… tapi kita cuba (libatkan) semaksima mungkin,” katanya selepas Majlis Berbuka Puasa bersama Aktivis Muda dan Pemimpin Mahasiswa Selangor di sini, hari ini.
Mengulas berkenaan perkembangan persiapan SUKMA, Amirudin berkata, ia kini di peringkat 80 peratus dan berjalan lancar sebagaimana dirancang.
Katanya, majoriti yang perlu diselesaikan adalah Pusat Akuatik yang kini di peringkat 40 peratus siap.
“Pusat akuatik antara lokasi SUKMA yang kita buat pengubahsuaian besar dan akan disiapkan ikut jadual yang ditetapkan. Kita letakkan sasaran persiapan lokasi selesai pada Jun iaitu dua bulan sebelum berlangsungnya temasya.
“Saya harap pasukan kita juga bersiap sedia walaupun bulan Ramadan untuk memastikan kita memberikan impak yang sangat baik dan sangat besar dalam penganjuran kali ini selepas 28 tahun kita tidak menjadi tuan rumah,” katanya.
Terdahulu, pada majlis berkenaan Amirudin turut menyerahkan insentif kepada atlet Selangor yang meraih pingat untuk negara pada Sukan Sea dan Sukan Para Asean Thailand 2025 dengan peruntukkan keseluruhan berjumlah RM319,400.
Amirudin berkata, kadar insentif berkenaan diberikan berdasarkan pencapaian mereka dan diseragamkan antara atlet Sukan SEA dan atlet Para Asean.
“Kali ini kita sudah seragamkan, kalau dulu angkanya tidak sepadan… sekarang kita samakan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



