3,079 graduan akan diraikan dalam Majlis Konvokesyen USIM Ke-22

3,079 graduan akan diraikan dalam Majlis Konvokesyen USIM Ke-22

SEREMBAN: Seramai 3,079 orang graduan dari 11 program pengajian akan diraikan pada Majlis Konvokesyen Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Kali Ke-22 yang dijadualkan berlangsung selama lima hari bermula 2 sehingga 6 Disember ini.

Naib Canselor USIM, Prof. Datuk Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani berkata, daripada 3,079 graduan tersebut, seramai 104 orang merupakan graduan Doktor Falsafah (PhD), 119 orang graduan Sarjana, 174 orang merupakan graduan Diploma Siswazah serta 2,682 lagi merupakan graduan program Sarjana Muda. 

“Walaupun jumlah graduan kali ini menunjukkan penurunan sedikit berbanding tahun sebelumnya namun tahun depan dijangka jumlah itu akan meningkat.

“Graduan siswazah dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) mencatatkan jumlah tertinggi graduan antarabangsa mengikut negara dengan seramai 23 orang yang masing-masing seramai 17 penerima graduan bagi PHD dan enam graduan bagi Sarjana,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sharifudin berkata, majlis konvokesyen tersebut disempurnakan oleh Pro-Canselor USIM, Tunku Zain Al-Abidin Ibni Tuanku Muhriz. 

Menurut beliau lagi, pada sidang pertama, Tunku Zain juga akan mencemar duli bagi pemasyhuran serta perisytiharan Pro-Canselor Baharu USIM dan seterusnya berkenan untuk menganugerahkan ijazah kepada para graduan.

Pada majlis yang sama, kata beliau, Ijazah Kehormat (Doktor Falsafah) (Pengajian Bahasa Arab) akan dianugerahkan kepada bekas Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi iaitu Tan Sri Dr. Ismail Ibrahim dan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Dakwah dan Pengurusan Islam kepada Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) Datuk Seri Dr. Abdul Aziz Sheikh Ab. Kadir. 

Katanya, majlis konvokesyen itu juga akan menyaksikan pengurniaan Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang), Anugerah Canselor Kategori Siswazah, Anugerah Lembaga Pengarah Universiti dan Anugerah Pingat Emas Naib Canselor.-UTUSAN.

Scroll to Top