Pecah dominasi

lizamridzuan@hmetro.com.my

KETIKA jenama dari China semakin rancak mengisi segmen skuter maxi di Malaysia, jenama Taiwan, KYMCO tampil mencabar persaingan menerusi XCITING VS 400, model sport-touring 400cc yang ditawarkan pada harga RM27,988.

Model berkenaan dilancarkan secara rasmi oleh Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (MODENAS) pada MODENAS Dealer Dinner & Awards Presentation Night 2026 yang diadakan di Pulau Pinang.

Sebelum ini, ia dipamerkan pada Malaysia Bike Show 2026 pada Mei lalu, sebelum memasuki pasaran Malaysia secara rasmi menerusi pengedar sah MODENAS di seluruh negara.

Model itu direka sebagai sport-touring maxi scooter yang menggabungkan elemen praktikal untuk kegunaan harian dengan keselesaan serta kemampuan untuk perjalanan jarak jauh.

Ia dikuasakan enjin satu silinder 400cc, empat injap dengan sistem penyejukan cecair yang menghasilkan kuasa maksimum 33.9PS at 7,250rpm dan tork 37.5 Nm pada 5,750rpm.

Kuasa berkenaan disalurkan menerusi transmisi automatik Continuously Variable Transmission (CVT), menjadikannya lebih mudah dikendalikan dalam kesesakan trafik mahupun perjalanan jarak jauh.

Daripada aspek keselamatan, ia dilengkapi Sistem Kawalan Cengkaman (TCS) selain sistem brek Anti-lock Braking System (ABS) pada roda hadapan dan belakang.

Antara kelengkapan lain ialah pelindung angin boleh laras lima tahap, operasi tanpa kunci, tempat duduk dua peringkat serta suspensi belakang dengan pelarasan preload sehingga lima tahap.

Ia turut menawarkan ruang simpanan bawah tempat duduk berkapasiti 29 liter dengan pencahayaan, memberikan kepraktisan tambahan kepada penunggang untuk membawa barangan harian.

XCITING VS 400 ditawarkan dalam dua pilihan warna iaitu Flat Black dan Cerulean Blue, selain dilindungi waranti selama dua tahun atau 20,000 kilometer, tertakluk kepada terma dan syarat ditetapkan.

Ketua Pegawai Eksekutif MODENAS, Roslan Roskan, berkata XCITING VS 400 mencerminkan komitmen syarikat untuk memperluaskan pilihan pelanggan menerusi kerjasama dengan KYMCO.

Beliau berkata kerjasama MODENAS bersama Kawasaki dan KYMCO akan terus menyokong pertumbuhan syarikat dalam segmen mobiliti praktikal, skuter moden, premium dan prestasi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top