Sudah ada perbincangan awal PN-BN berhubung kerjasama PRN Melaka – Takiyuddin

nfazlina@nstp.com.my

Kota Bharu: Perikatan Nasional (PN) mengesahkan terdapat perbincangan awal dan umum berhubung kerjasama gabungan parti itu dengan Barisan Nasional (BN) bagi berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya sedang merangka kerjasama berkenaan.

“Kerjasama ini akan diteruskan, kita sedang merangka dan bagaimana kerjasama itu, kita akan muktamadkan nanti.

“Saya boleh mengesahkan perbincangan awal dan umum termasuk berkaitan PRN Melaka sudah dilakukan. Maklum balas pemimpin BN juga positif setakat ini.

“Kita jangan mengambil kira kenyataan politik persendirian. Contohnya PAS kata nak tanding banyak, BN pula kata nak tanding banyak. Itu semua sebelum kita berbincang.

“Sebagaimana di PRN Negeri Sembilan, macam-macam cerita nak tanding namun keputusan akhir akan dibuat pimpinan parti menerusi perbincangan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan Ceramah Isu Semasa dan RUU Kesalahan Syariah (Kelantan) 2026 di sini, malam tadi.

Sementara itu ditanya berhubung kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang memaklumkan PAS mempunyai pelan B jika BN memilih untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan, Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung PAS berkata, itu perkara biasa.

“Pelan B itu boleh jadi kerjasama dalam bentuk lain sebagaimana di Johor kita kita anggap kita masih bekerjasama juga namun dalam bentuk yang lain.

“Semua orang mesti ada pelan A, B dan C,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top