31 NGO bantah pelantikan Sultan Ahmed terajui MMC Port Holdings

31 NGO bantah pelantikan Sultan Ahmed terajui MMC Port Holdings

SHAH ALAM – Sebanyak 31 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Malaysia membantah pelantikan Sultan Ahmed bin Sulayem sebagai peneraju baharu MMC Port Holdings kerana mendakwa ia menimbulkan persoalan berkaitan integriti, ketelusan dan keselamatan strategik negara.

Surat terbuka tersebut disokong oleh 31 NGO termasuk BDS Malaysia, Sekretariat Solidariti Palestin, Pertubuhan Kadazan Dusun Murut Muslim SeMalaysia (KDMRS Muslim), Citizens International, CENTHRA Malaysia, Mahabbah Malaysia, Pertubuhan Mawaddah Malaysia, MANDIRI, GEGAR, HALUAN, MWCQP, Pertubuhan Intelektual Perlis, Pertubuhan Agenda Wanita Malaysia (AGENDA) dan MACSA.

Bantahan sama turut disuarakan Dunia Palestin Network, MyCARE, Malaysian Protest 4 Palestine (MP4P), Palestine Solidarity Penang (PSP), Viva Palestina Malaysia, Ban War Criminals, ACCIN, ALIRAN, Pertubuhan IKRAM Malaysia, Persatuan Mantan Profesor UM (PMPUM), Pergerakan Tenaga Akademik Malaysia (GERAK), Pertubuhan Intelektual Perlis (PiP), Gerakan Solidariti Pembebasan Palestin (GSPP), Yayasan Amal Malaysia, Palestine Centre of Excellence (PACE), Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) dan Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia (KUMS).

Kesemua NGO menggesa pelantikan tersebut ditarik balik kerana Sultan Ahmed sebelum ini dilaporkan meletakkan jawatan daripada syarikat logistik global, DP World susulan dakwaan kaitannya dengan pesalah seks disabitkan kesalahan, Jeffrey Epstein.

“Selain kaitan Sultan Ahmed dengan fail Epstein, pelantikan berkenaan juga tidak boleh diterima atas beberapa faktor termasuk perubahan kepimpinan yang berlaku secara mengejut tanpa penjelasan dan kebimbangan terhadap aspek geopolitik dan keselamatan negara.

“Sultan Ahmed dipaksa meletakkan jawatan sebagai Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif DP World pada Februari lalu selepas Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (AS) mengeluarkan dokumen tanpa suntingan yang didakwa mengandungi ribuan komunikasi e-mel antara beliau dan Jeffrey Epstein,” katanya dalam satu surat terbuka pada Isnin.

Sebelum ini, Reuters melaporkan mengenai pelantikan Sultan Ahmed Bin Sulayem sebagai Pengerusi Eksekutif MMC Port Holdings.

Mereka turut mendakwa beberapa institusi kewangan antarabangsa menggantung pelaburan baharu dalam DP World susulan pendedahan berkenaan.

Selain itu, NGO terbabit mempersoalkan perubahan kepimpinan di MMC Ports apabila Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia syarikat itu digantikan secara mengejut pada 12 Julai lalu tanpa sebarang penjelasan rasmi atau pengumuman pengganti tetap.

Dalam masa sama, gabungan NGO tersebut turut membangkitkan kebimbangan terhadap kawalan ke atas infrastruktur kritikal negara memandangkan MMC Ports mengendalikan tujuh terminal utama di sepanjang Selat Melaka yang merupakan antara laluan perkapalan dan transit minyak paling penting di dunia.

“Meletakkan kawalan langsung ke atas infrastruktur strategik negara di tangan seorang warga asing yang dibayangi skandal antarabangsa dan pernah dikaitkan dengan individu yang disyaki mempunyai hubungan dengan Mossad bukanlah demi kepentingan jangka panjang negara,” menurut NGO terlibat.

Sehubungan itu, gabungan NGO berkenaan menggesa supaya keputusan pelantikan individu terbabit dipertimbangkan semula demi menjaga kepentingan negara.

Scroll to Top