PUTRAJAYA: Angkatan Muda Keadilan (AMK) mempersoalkan kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang mengkritik beberapa keputusan kerajaan sedangkan beliau sendiri adalah Timbalan Perdana Menteri dan anggota Jemaah Menteri.
Ketua Penerangan AMK Malaysia, Danish Hairudin berkata, setiap keputusan berkaitan pentadbiran negara dibuat secara kolektif oleh Kabinet dan tidak sepatutnya dipertikaikan secara terbuka selepas ia diputuskan.
Menurut beliau, prinsip tanggungjawab kolektif Kabinet yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan menghendaki semua anggota kerajaan mempertahankan keputusan yang dipersetujui bersama.
“Jika ada sebarang bantahan, ia sepatutnya dibangkitkan ketika mesyuarat Kabinet dan bukannya selepas keputusan dibuat. Tidak wajar seseorang yang duduk semeja membuat keputusan kemudian tampil seolah-olah beliau tidak mempunyai kaitan dengan keputusan tersebut,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ahmad Zahid yang menyentuh beberapa isu semasa termasuk subsidi petrol dan pandangan terhadap golongan pendidik.
Danish berkata, sebagai Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid bukan sekadar berkongsi kuasa dalam kerajaan, sebaliknya turut memikul tanggungjawab mempertahankan dasar yang dipersetujui Kabinet.
Katanya, tindakan mengkritik keputusan kerajaan selepas ia diumumkan hanya akan menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat selain memberi gambaran wujud perbezaan pendirian dalam pentadbiran negara.
Dalam pada itu, beliau turut membidas dakwaan bahawa UMNO mampu mentadbir negara dengan lebih baik berbanding keadaan semasa.
Menurutnya, rekod pentadbiran lalu yang dikaitkan dengan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Tabung Haji dan Felda seharusnya dijadikan pengajaran sebelum mana-mana pihak mendakwa mempunyai formula lebih baik untuk mentadbir negara.
“Rakyat masih ingat pelbagai isu yang membelenggu negara ketika era pentadbiran terdahulu dan perkara itu tidak boleh dipadam begitu sahaja daripada ingatan umum,” katanya. – UTUSAN

