32 wanita Arab dipilih pandu kereta api ekspres Haramain 

JEDDAH: Seramai 32 wanita Arab Saudi dipilih sebagai pemandu Kereta Api Ekspres Haramain yang beroperasi antara Mekah dan Madinah menerusi Jeddah.

Kesemua wanita itu menerima kelayakan tersebut daripada Politeknik Laluan Kereta Api Arab Saudi (SRP) di bawah Syarikat Kereta Api Arab Saudi.    

Lapor portal Saudi Gazette, kumpulan wanita itu mula bekerja selepas dilatih oleh pakar SRP selama lebih 12 bulan.  

Beberapa wanita yang ditemubual oleh Agensi Berita Saudi (SPA) meluahkan rasa bangga apabila berpeluang menceburi kerjaya itu.

Seorang wanita terbabit, Tharaa Ali Alzahrani berasa gembira dan bersyukur menjadi antara calon kumpulan pertama pemandu kereta api wanita di Arab Saudi.

“Sejak SRP mengumumkan peluang pekerjaan ini pada Januari lalu, saya terus memohonnya. Selepas menjalani sesi temuduga dan ujian, saya dipilih sebagai antara calon kumpulan pertama pemandu kereta api wanita di Arab Saudi.

“Ini membantu saya mencapai cita-cita untuk berkhidmat kepada negara,” katanya.

Menurut Tharaa, semua calon dipilih sebagai pemandu sudah melengkapkan latihan teori dan praktikal berkaitan sistem keselamatan selain turut menjalani latihan memandu kereta api.

Seorang lagi calon dipilih, Rotella Yasser Najjar berkata, latihan kepimpinan itu  memberi peluang kepada wanita Arab Saudi dan memperkasakan diri golongan tersebut untuk bekerja di pelbagai lokasi bagi berkhidmat kepada negara.

“Ia termasuk projek Kereta Api Haramain yang menyediakan pengangkutan kepada jemaah haji dan umrah serta pengunjung ke Masjidil Haram,” katanya. 

Leave a Comment