lokman.khairi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba di Pejabat Agung PAS, di sini bagi menghadiri Mesyuarat Tergempar Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN).
Bekas Perdana Menteri itu tiba jam 8.25 malam diiringi Naib Presiden BERSATU, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Ketua Wanita BERSATU, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi dan Ketua ARMADA BERSATU, Muhammad Hilman Idhman.
Terdahulu, antara pimpinan yang sudah tiba adalah Pengerusi PN merangkap Naib Presiden PAS Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Ketua Pengarah Pilihan Raya PN Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, Presiden GERAKAN Datuk Dr Dominic Lau dan Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat Tan Sri Annuar Musa.
Mesyuarat terbabit dijangka membincangkan keanggotaan parti gabungan PN dan penggunaan logo PN menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan, bulan hadapan.
Pada 8 Jun lalu, PAS secara rasmi menghentikan kerjasama politik dengan BERSATU berkuat kuasa serta-merta.
Sejak itu, pimpinan kedua-dua parti Melayu itu saling berbalas kenyataan seakan merebut hak untuk menggunakan jenama dan logo PN.
Dalam pada itu, Parti Wawasan Negara (WAWASAN) yang dipimpin Bekas Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin akan menggunakan logo PN untuk bertanding pada PRN Johor dan Negeri Sembilan.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang pada 13 Jun lalu dilaporkan berkata, pihaknya akan menghantar calon daripada WAWASAN untuk bertanding pada kedua-dua PRN itu.
16 Jun lalu pula, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, BERSATU membuat keputusan kekal dalam PN dan akan menggunakan logo PN dalam PRN Johor dan Negeri Sembilan.
Esoknya, PAS menyifatkan kenyataan Muhyiddin itu bersifat gopoh.
Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dipetik berkata, kuasa atau watikah berhubung penggunaan logo PN pada PRN perlu ditandatangani oleh Pengerusi PN dan bukannya presiden parti.
Semalam, ketika Majlis Pelancaran Jentera PRN BERSATU Johor, Muhyiddin menyuarakan hasrat untuk membentuk gabungan baharu sekiranya parti yang dipimpinnya tidak diperlukan lagi dalam PN.
Ahli Parlimen Pagoh itu dipetik berkata, BERSATU ada pendirian tersendiri dalam menghadapi senario itu dan bersedia menubuhkan gabungan dengan beberapa lagi parti lain.
© New Straits Times Press (M) Bhd




