georgie@hmetro.com.my
MELANGKAUI tiga dekad membina legasi sebagai kumpulan R&B terulung, Boyz II Men sukar ditandingi. Aura mereka tak pernah padam sebagai penghibur cukup bertenaga.
Tiga anggotanya Nathan Morris, Shawn Stockman dan Wanya Morris yang hadir menjayakan konsert Boyz II Men Live in Kuala Lumpur anjuran Shiraz Projects di Mega Star Arena, baru-baru ini terus disambut hebat.
Ingatkan penonton cuma datang berhibur secara santai saja, rupa-rupanya sepanjang konsert dua jam, semuanya seakan tidak keruan. Boyz II Men bijak menghangatkan suasana.
Secara dasarnya, mereka dikenali dengan lagu-lagu mendayu dan membuai. Namun seleksi ditampilkan pada konsert itu disusun padat dan variasi, dari lagu perlahan hingga rancak.
Tidak hairanlah, lebih 3,500 peminat yang hadir tidak keruan sama ada perlu duduk saja atau bangun. Kelincahan tiga anggotanya beraksi begitu dirasai sehingga penonton pun ingin bergoyang sekali.
Kembali ke Kuala Lumpur selepas enam tahun, Boyz II Men turut mendedikasikan segmen khas buat penghibur legenda termasuk Michael Jackson, Prince dan The Beatles.
“Kami bukan penyanyi yang bagus namun kami terus berada di pentas selepas lebih 30 tahun kerana deretan nama besar ini.
“Michael Jackson, Prince, The Beatles dan tidak ketinggalan Whitney Houston yang menyuntik semangat dan meninggalkan legasi tersendiri di arena muzik,” kata Morris.
Melihat sambutan luar biasa, tiada yang terzahir dari hati mereka melainkan rasa syukur masih diminati rakyat Malaysia sehingga kini. Itu pencapaian bermakna buat mereka.
Berdekad lamanya menjadi anak seni, mereka mahu terus menghibur dan menyentuh hati ramai dengan muzik mereka. Perjalanan mereka tidak mudah namun mereka kuat kerana peminat.
Stockman yakin kehadiran mereka menjadi signifikan buat ramai peminatnya sehingga kini. Justeru, dia berharap sokongan sama terus diberi dan mereka berjanji mahu terus ‘memeluk’ peminatnya.
“Terima kasih yang tidak terhingga sudi meluangkan malam bersama kami, kami harap anda semua berseronok! Bukan malam ini saja, saya percaya kamu dengar muzik kami, guna pada masa gembira, sedih.
“Selama 33 tahun sepanjang karier kami, ada lagu yang mungkin lebih tua daripada anak kamu. Mari luangkan lagi 33 tahun bersama. Kami sayang kamu!” katanya.
Selain Purple Rain dan Come Together, pemenang empat Anugerah Grammy itu turut membawakan lagu daripada Bruno Mars, Locked Out Of Heaven sebagai pelengkap.
Seleksi wajib menjadi siulan, sekali gus menggandakan lagi aura romantis termasuk Water Runs Dry, On Bended Knee, 4 Season of Loneliness, Yesterday, One Sweet Day dan It’s So Hard To Say Goodbye To Yesterday dialunkan.
Sebelum menutup tirai persembahan mega berlangsung sekitar satu setengah jam, I’ll Make Love To You, End of The Road dan Motownphilly diperdengarkan.
Bagai tidak puas, penonton memenuhi gelanggang di tengah ibu negara itu bagi mengikuti Konsert Boyz II Men Live In KL seperti enggan berganjak dari tempat masing-masing.
Nyata aura Boyz II Men tetap kental di jiwa penggemar tegar mereka yang sanggup ‘melaburkan’ wang untuk tiket berharga RM355 sehingga RM955 demi menikmati deretan dendangan berhantu.
Sebelum berlalu, mereka turut menzahirkan terima kasih kepada peminat Malaysia yang disifatkan penuh tenaga luar biasa.
Kali terakhir berkunjung ke negara ini menerusi konsert di Plenary Hall Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 2019 yang juga dibawakan Shiraz Projects selaku penganjur.
© New Straits Times Press (M) Bhd