JOHOR BAHRU: Seramai 39 orang pekerja asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor dalam serbuan Ops Selera di pusat beli belah di bandar raya ini, Isnin lalu.
Pengarah Imigresen Johor, Datuk Mohd. Rusdi Mohd. Darus berkata, kesemua warga asing berusia 19 hingga 46 tahun, diambil bekerja sebagai pelayan dan tukang masak.
Katanya, operasi bermula pukul 2 petang menyasarkan premis makanan sekitar kawasan Johor Bahru yang didapati melakukan pelbagai kesalahan imigresen.
“Bertindak atas maklumat awam dan risikan, operasi dijalankan serentak ke atas beberapa buah premis makanan telah berjaya mengesan kehadiran warga asing yang bekerja tanpa pas yang sah serta menyalahgunakan kemudahan pas lawatan sosial.
“Seramai 39 warga asing ditahan terdiri daripada 20 lelaki Myanmar, 10 lelaki Bangladesh, dua lelaki Indonesia, seorang wanita Bangladesh dan enam wanita Myanmar. Turut ditahan seorang lelaki tempatan dipercayai pengurus sumber manusia,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Mohd. Rusdi, kesemua yang ditahan melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. Mereka ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika, di sini untuk siasatan dan tindakan lanjut.
“Sebanyak empat keping borang 29 iaitu saman kepada saksi telah dikeluarkan sepanjang pemeriksaan untuk membantu siasatan” katanya.-UTUSAN



