4 disambung reman termasuk suami isteri pempengaruh

4 disambung reman termasuk suami isteri pempengaruh

mhafis@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapat kebenaran untuk menyambung reman empat individu termasuk pasangan suami isteri pempengaruh yang ditahan pada 10 Julai lalu kerana disyaki terbabit dalam penyelewengan dana derma awam.

Perintah sambung reman selama tiga hari sehingga 16 Julai ini dikeluarkan Majistret Siti Zahirah Zaidon selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya berikutan tempoh asal reman kesemua suspek tamat pada hari ini.

Pada 10 Julai 2024, SPRM menahan kesemua suspek kerana disyaki terbabit dalam penyelewengan dana derma awam.

Menurut sumber, kesemua suspek iaitu tiga lelaki dan seorang wanita berusia antara 20-an hingga 30- ditahan kira-kira antara jam 6.30 petang hingga 11 malam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM.

Susulan penahanan itu, kesemua suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya pada 11 Julai 2024 dan perintah reman selama empat hari sehingga 14 Julai lalu dikeluarkan oleh Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin.

“Suspek yang juga pasangan suami isteri dipercayai melakukan perbuatan itu sejak 2020 dengan menyeleweng kutipan derma yang tidak disalurkan dengan cara yang betul.

“Dianggarkan kutipan derma terbabit mencecah kira-kira RM3 juta dan siasatan masih di peringkat awal dan pada masa yang sama, dua lagi suspek turut ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes yang sama,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan sambungan tempoh reman itu dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top