4 individu termasuk 3 wanita direman kes baling cat

4 individu termasuk 3 wanita direman kes baling cat

am@hmetro.com.my

Batu Pahat: Tiga wanita antara empat individu yang direman di Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana disyaki terbabit dengan kegiatan membaling cat secara ‘road show’ ke atas rumah peminjam dengan ceti haram atau along.

Perintah reman selama dua hari bermula hari ini terhadap keempat-empat suspek berusia 25 hingga 32 tahun dikeluarkan Majistret Nurasidah A Rahman untuk polis melengkapkan kertas siasatan.

Selain itu, perintah reman juga membolehkan polis merekod keterangan daripada kesemua suspek yang disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Berdasarkan laporan dibuat, keempat-empat suspek ditahan pada Sabtu lalu selepas polis menerima laporan berhubung kegiatan membaling cat oleh individu tidak dikenali.

Siasatan mendapati, suspek disyaki terjebak dengan kegiatan ini selepas melihat iklan tawaran pekerjaan sambilan di media sosial yang menjanjikan gaji lumayan.

Dari maklumat awal, keempat-empat suspek bertindak sebagai penyimbah cat merah serta menulis nota ugutan kepada mangsa atau peminjam.

Kebanyakan mereka memilih pekerjaan ini adalah kerana terdesak selain tertarik dengan bayaran tinggi iaitu RM800 bagi setiap rumah yang dibaling cat.

Selain itu, kesemua suspek juga diminta merakam gambar serta merekod video sekurang-kurangnya 10 saat sebagai bukti kerja sudah dijalankan sebelum dihantar kepada ‘majikannya’ bagi membolehkan bayaran dibuat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top