Lebih 5,000 pek daging korban diagihkan sempena Karnival Qurban Terbesar Malaysia

Lebih 5,000 pek daging korban diagihkan sempena Karnival Qurban Terbesar Malaysia

am@hmetro.com.my

Putrajaya: Lebih 5,000 pek daging korban akan diagihkan kepada orang ramai sempena Karnival Qurban Terbesar Malaysia 2026 di Kandang Fidlot Tayyib Ranch, Kampung Sungai Kelambu, Banting, selepas solat Aidiladha esok.

Pengerusi Kumpulan Aptrasco Group merangkap Pengarah Urusan Tayyib Ranch Sdn Bhd yang juga saudara baharu, Dr Lui Sze Chiang berkata, sebanyak 100 ekor lembu akan dikorbankan dan pihaknya menjangkakan lebih 1,000 pengunjung hadir memeriahkan karnival berkenaan.

Beliau berkata, karnival terbesar itu memasuki edisi ketiga penganjuran dengan matlamat berkongsi rezeki serta menyemarakkan penghayatan ibadah korban dalam kalangan masyarakat.

Katanya, program korban selama tiga hari bermula esok hingga Jumaat bukan sahaja menjadi platform pelaksanaan ibadah korban, malah mengeratkan hubungan masyarakat pelbagai latar belakang serta berkongsi rezeki dengan golongan memerlukan.

“Karnival itu turut memberi peluang kepada orang ramai melihat pelbagai baka lembu premium dari dekat selain merasai sendiri suasana ibadah korban dalam konsep santai bersama keluarga,” katanya.

Dianjurkan oleh Tayyib Ranch Sdn Bhd, pelbagai program menarik disediakan kepada pengunjung bermula jam 10 pagi setiap hari.

Selain berpeluang melihat lembu sado, pengunjung juga boleh menikmati pelbagai aktiviti termasuk mini funfair serta interaksi bersama haiwan ternakan.

Sze Chiang berkata, pihaknya mengalu-alukan kehadiran orang ramai untuk mendapatkan daging korban yang disediakan melalui penjagaan dan pemakanan halal yang terkawal.

Menurutnya, antara tarikan utama adalah pameran lebih 10 lembu sado dengan ada antaranya mencecah berat lebih satu tan dan pengunjung berpeluang merakamkan gambar sebagai kenangan tanpa dikenakan sebarang caj dan hanya perlu membeli makanan yang disediakan sekiranya ingin merasai pengalaman memberi makan kepada haiwan ternakan berkenaan.

Katanya, pihaknya mahu mewujudkan suasana lebih dekat dengan masyarakat supaya orang ramai boleh datang bersama keluarga dan rakan untuk melihat sendiri aktiviti korban serta menikmati pengalaman berbeza sempena Aidiladha.

“Daging korban ini akan diagihkan kepada golongan yang benar-benar memerlukan seperti rumah anak yatim, tahfiz, keluarga asnaf dan warga emas dari beberapa lokasi termasuk Kuala Lumpur, Seremban dan Kuala Selangor,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top