4 juta tonton episod akhir Ayahanda

4 juta tonton episod akhir Ayahanda

bhhip@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Episod akhir drama Ayahanda yang diadaptasi daripada novel karya Allahyarham Azizi Abdullah yang disiarkan slot Lestary, TV3 pada 31 Julai lalu, ditonton empat juta orang, mengikut sumber Nielsen.

TV3 dalam kenyataannya menyebut, drama Ayahanda yang dibintangi pelakon hebat seperti Jalil Hamid dan Fauziah Ahmad Daud atau Ogy, menambat hati penonton melalui jalan cerita dan aksi hebat pendukung watak.

Penerbit drama Ayahanda, Fadzil Teh bersyukur atas kejayaan drama Ayahanda.

“Ini adalah suatu penghargaan besar buat saya dan Zeel Production apabila dapat menerbitkan naskhah hebat ini. Lebih-lebih lagi, karya nukilan sasterawan disegani.

“Saya bersyukur dengan penerimaan baik, maklum balas dan pujian daripada penonton, rakan industri serta pihak lain yang menonton drama ini.

“Ayahanda adalah naskhah istimewa dan ditayangkan pada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, ramai yang menonton ikut sama merindui emak, ayah dan keluarga mereka di kampung,” katanya dalam kenyataan.

Fadzil bersyukur drama Ayahanda yang diarahkan Datuk Ahmad Tamimi Siregar dengan skrip dihasilkan Maizura Mohd Ederis dan Wan Mahani Wan Hassan, menjentik emosi penonton.

“Drama ini mengingatkan penonton untuk selalu menghargai ibu bapa ketika mereka masih ada. Saya sendiri menangis menonton kerana rindukan arwah emak dan ayah.

“Semoga drama ini memberi teladan yang baik buat semua. Saya juga ucapkan terima kasih kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), pengarah, penulis skrip, kru serta barisan pelakon terutama Ogy dan Jalil yang menghidupkan naskhah ini.

“Semoga ada lebih banyak lagi adaptasi karya sastera pada masa akan datang, Insya-Allah,” katanya.

Kenyataan TV3 menyebut, Ayahanda mencatatkan 2.4 juta penonton secara purata sejak disiarkan pada 10 Julai lalu, iaitu pada setiap Rabu hingga Sabtu pada jam 9 malam.

Tambahnya, kejayaan drama Ayahanda membuktikan hasil karya sastera mampu mendapat sambutan baik jika dipersembahkan dengan kemas oleh penggiat seni berpengalaman dan berbakat besar.

Drama Ayahanda memaparkan watak suami isteri iaitu Haji Abdullah lakonan Jalil dan dan Hajah Noriah (Fauziah) yang yang berhadapan pelbagai konflik dengan anak-anak iaitu Halimah yang dibawa Noorkhiriah; Ramli (Shahz Jaszle); Ahmad (Hairi Safwan) dan Aziz (Fikry Ibrahim).

Ketika hayatnya, sasterawan Allahyarham Azizi menerima Anugerah SEA Write Awards 1988 dan memenangi Anugerah Hadiah Karya Sastera sebanyak tujuh kali.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top