Rezeki Abang Minyak Hitam Jalanan, terima tajaan tunai umrah

Rezeki Abang Minyak Hitam Jalanan, terima tajaan tunai umrah

saadiah_ismail@bh.com.my

Kuala Lumpur: Keikhlasan hati individu dikenali sebagai ‘Abang Minyak Hitam Jalanan’ membantu orang yang memerlukan mendapat perhatian pelbagai pihak, hingga dia ditawarkan peluang untuk menunaikan umrah di Tanah Suci.

Pengumuman tajaan itu dibuat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan, hari ini yang turut memaklumkan tajaan umrah khas kepada pemuda berkenaan atau nama penuhnya, Mohd Yusof Mohd Noor memandangkan dia tidak pernah lagi mengerjakan ibadah itu.

“Saya tanya abang Yusof tadi, sudah pernah pergi umrah atau haji dan katanya belum lagi.

“Jadi hari ini saya nak umumkan kita hadiahkan dua tiket penerbangan (pakej) umrah. Terpulang kepada beliau nak pilih siapa ikutnya,” katanya pada sidang media haji bersama TV Alhijrah, di sini, hari ini.

Sebelum ini, menerusi perkongsian di laman sosialnya, Minyak Hitam Jalanan Original, dia sering menghulurkan bantuan kepada golongan memerlukan, sekali gus meraih perhatian ramai di media sosial.

Baru-baru ini, videonya tular sekali lagi apabila membantu individu berbangsa Cina dikenali sebagai Dicky yang berdepan kerosakan motor tanpa meminta bayaran.

Sebaliknya, beliau turut menghulurkan wang infak kepadanya.

Sementara itu, Mohd Yusof berkata, semua yang dilakukan itu adalah semata-mata kerana Allah SWT.

“Saya tak meminta apa-apa, ini semua rezeki. Saya pun tak tahu nak cakap apa kerana tak menjangkakan perkara ini boleh sampai ke tahap ini.

“Saya cuma jalankan amanah orang yang menginfak dan melakukan tanggungjawab sebagai pekerja.

“Saya tak mahu memegang duit infak terlalu banyak, takut tersalah pakai atau gelap mata,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top