SEREMBAN: Empat kakitangan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) direman enam hari hingga Rabu ini kerana disyaki meminta dan menerima rasuah daripada penjaja.
Perintah reman dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Khas Reman Seremban, Mas Azmimin Ahmad bagi membolehkan siasatan dilakukan ke atas semua individu berumur antara 36 hingga 53 tahun itu mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Bagaimanapun, jumlah wang suapan terbabit dalam kes itu masih dalam siasatan.
Empat kakitangan MPPD itu tiba di mahkamah pada jam 10 pagi dengan diiringi pegawai SPRM.
Semalam, keempat-empat mereka yang bertugas sebagai penolong pegawai kesihatan persekitaran, pembantu kesihatan awam dan pembantu penguat kuasa ditahan dalam Op Jambu ketika hadir di pejabat SPRM Negeri Sembilan, kira-kira jam 2 petang.
Mereka didakwa meminta dan menerima wang suapan daripada penjaja pasar pagi dan malam di sekitar Lukut serta Port Dickson, sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap penjaja berkenaan yang tidak berlesen.– BERNAMA
© New Straits Times Press (M) Bhd




