am@hmetro.com.my
Ampang: Empat kenderaan mengalami kerosakan akibat dihempap pokok tumbang susulan cuaca buruk di sekitar Taman Pandan Perdana, di sini, hari ini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan pada 4.30 petang.
“Anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pandan Indah tiba di lokasi sejauh lima kilometer (km) kira-kira enam minit kemudian.
“Sebatang pokok tumbang menghempap empat kenderaan iaitu Toyota Avanza, Nissan Sylphy, Hyundai Getz dan Proton Satria,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan dan kerja mengalihkan pokok giat dijalankan.
Sementara itu, dalam kejadian berasingan, sebatang pokok dilaporkan tumbang di Bulatan Jalan Reko, berhampiran Kompleks PKNS, Bangi, di Kajang kira-kira 5.02 petang.
Ahmad Mukhlis berkata, tiada kemalangan jiwa atau kerosakan harta benda dilaporkan dalam insiden itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd
