harisfadli@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Gara-gara menginginkan gaji USD1,000, empat lelaki ‘dijual’ kepada sindiket pemerdagangan manusia di Kemboja selepas terpedaya janji manis ‘abang kawasan’ persatuan kongsi gelap.
Mangsa Muhammad Hafiz, 21, berkata dia mengenali lelaki berusia lewat 20-an itu melalui rakan sekampung di Kampung Ayer Baloi, Pontian di Johor.
Menurutnya, lelaki itu mengajaknya dan tiga rakan lain untuk menyertai sebuah pertubuhan dan dibawa ke satu majlis suai kenal dan bertemu seorang lelaki lain.
“Selepas sertai kumpulan itu, kami dipelawa bekerja di Laos. Bila tanya kerja apa, lelaki itu sekadar beritahu ia kerja halal, kerja ikut skrip sahaja. Kami juga diarahkan untuk beritahu keluarga yang kami pergi kerja di Singapura.
“Mereka tawarkan kerja di Kemboja dengan gaji kira-kira USD1,000 (RM3,950) sebulan dan kata ia kerja ikut skrip di komputer.
“Selepas dua minggu berada di rumah transit di Ulu Tiram, Johor, kami dibawa ke KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur diterbangkan ke Kemboja pada pertengahan Februari lalu. Saya tak tahu langsung ia berkait kegiatan penipuan dan hanya sedar selepas sampai ke negara itu” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Menurutnya, dia dan tiga yang lain nekad melarikan diri pada pertengahan Ramadan kerana tidak tahan dipaksa bekerja melakukan ‘love scam’.
Katanya, sindiket mendapat maklumat bahawa pihak berkuasa mahu menyerbu premis berkenaan untuk mencarinya lalu sindiket memindahkan mereka keluar ke sebuah hotel sebelum mencari peluang melarikan diri.
“Kami berjalan lebih dua kilometer dari hotel sebelum menaiki kenderaan warga tempatan untuk dibawa ke sebuah perkampungan Islam.
“Dari situ, kami sampai ke sebuah surau dan terus hubungi ibu bapa sebelum diselamatkan,” katanya
Muhammad Hafiz berkata, mereka langsung tidak menyangka tawaran kerja itu bertukar menjadi episod mimpi ngeri malah mengakui tidak cakna berhubung isu berhubung pemerdagangan manusia di negara jiran.
“Saya sempat menipu seorang mangsa kira-kira RM500, tetapi dipukul kerana tidak capai sasaran. Kami juga pernah dihukum dan dikawal supaya ikut arahan.
“Saya menyesal menyertai kumpulan kongsi gelap dan menerima tawaran kerja di Kemboja tanpa usul periksa. Saya harap orang lain tidak terpedaya dengan tawaran seperti ini,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim, berkata segala maklumat berhubung individu terbabit sudah diserahkan kepada polis.
Katanya, beliau difahamkan individu terbabit masih bebas dan masih aktif merekrut anak-anak muda dan beliau untuk dijadikan mangsa sindiket pemerdagangan orang.
“Kita minta Bahagian Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) Bukit Aman mengambil tindakan terhadap individu ini.
“Maklumat kita menunjukkan Johor antara negeri tertinggi merekrut mangsa ke Kemboja dan kini semakin ramai membabitkan belia Melayu,” katanya.
Beliau berkata, kegiatan merekrut mangsa di peringkat kampung masih berterusan walaupun beberapa kes sudah didedahkan sebelum ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




