am@hmetro.com.my
Putrajaya: Empat lukisan ternama yang dikaitkan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan diserahkan kepada Balai Seni Negara minggu depan bagi tujuan pemuliharaan.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, berkata lukisan berkenaan kini ditempatkan sementara di ibu pejabat SPRM dalam keadaan terkawal sebelum dipindahkan ke Balai Seni Negara.
“Menjelang minggu depan, kami akan menyerahkannya kepada Balai Seni Negara.
“Keadaan di sini agak tidak teratur kerana kami perlu menjaga suhu dan sebagainya, selain kekurangan kotak serta tenaga kerja,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Azam berkata, pengurusan Balai Seni Negara akan menentukan bila lukisan berkenaan akan dipamerkan kepada umum.
“Apabila ia diserahkan kepada Balai Seni Negara, saya serahkan kepada ketua pengarahnya.
“Saya fikir ia akan dibuka kepada orang ramai dalam masa terdekat dan orang ramai boleh datang melihat semua lukisan ini,” katanya.
Beliau berkata, karya seni itu wajar dijadikan peringatan kepada skandal 1MDB serta kepentingan akauntabiliti dalam pentadbiran awam.
“Bagi saya, lukisan ini perlu disimpan oleh kerajaan supaya orang ramai boleh melihatnya dan mengingati sejarah berkaitan 1MDB.
“(Empat) lukisan ini bukan palsu, (lukisan) ini tulen,” katanya.
Empat lukisan itu ialah Joan Miró bertajuk Composition (1953); karya Maurice Utrillo bertajuk Maison de rendez-vous, rue Saint-Rustique, Montmartre (1934); karya Balthus bertajuk Étude pour femme couchée (1948) dan karya Pablo Picasso bertajuk L’Ecuyère et les clowns (1961).
© New Straits Times Press (M) Bhd




