4 pelajar lelaki ditahan dipercayai ceroboh asrama perempuan

am@hmetro.com.my

Kuala Nerus: Empat pelajar lelaki ditahan selepas dipercayai menceroboh asrama perempuan sebuah sekolah menengah di daerah ini, Sabtu lalu.

Menurut sumber, kejadian dipercayai berlaku antara 2 pagi hingga 3 pagi ketika penghuni asrama berkenaan sedang tidur.

Katanya, kesemua pelajar lelaki terbabit dipercayai memasuki blok asrama tanpa kebenaran sebelum perbuatan mereka disedari pihak sekolah.

Difahamkan mereka adalah pelajar dari sekolah yang sama.

“Keempat-empatnya sudah ditahan pihak polis pada Sabtu lalu bagi membantu siasatan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dibuat pada 1.13 tengah hari Sabtu.

“Kesemua pelajar terbabit bagaimanapun sudah dibebaskan dengan jaminan,” katanya.

Beliau berkata, satu perjumpaan bersama keluarga semua pelajar berkenaan turut diadakan dengan membabitkan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), wakil Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), wakil Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Pengetua, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (PKHEM) dan warden asrama.

Menurutnya, tindakan lanjut terhadap kesemua pelajar terbabit akan diputuskan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top