Insiden gelongsor: Pelampung dipercayai langgar sesuatu, sebelum dua wanita tercampak

am@hmetro.com.my

Melaka: Pelampung berkembar dinaiki dua wanita dipercayai melanggar sesuatu ketika menuruni gelongsor air sebelum kedua-duanya tercampak keluar dan ditemui dalam keadaan pengsan di sebuah taman tema air di Ayer Keroh, di sini, Sabtu lalu

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Halim Abas berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 2.30 petang itu menyebabkan salah seorang wanita mengalami darah beku di bahagian kanan kepala, manakala seorang lagi mengalami gegaran otak.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati kedua-dua wanita terbabit menaiki pelampung berkembar sebelum pelampung itu dipercayai melanggar sesuatu ketika menuruni gelongsor.

“Mangsa bernama Razita Abd Razak, 46 tahun yang berada di bahagian hadapan pelampung mendakwa kepalanya terhantuk pada dinding gelongsor dan tidak mengingati kejadian selepas itu.

“Manakala mangsa kedua, Norfazlin Badrol Hisham, 31, tidak dapat mengingati kejadian dan hanya tersedar ketika berada di bahagian terbuka gelongsor.

“Razita pula mengalami kecederaan di bawah dagu, sakit kepala dan dada selain luka pada lutut kanan selepas kejadian itu,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Tambahnya, mangsa kemudian mendapatkan rawatan di Hospital Melaka dan pemeriksaan sinar-X mendapati tiada kecederaan, namun hasil imbasan CT menunjukkan terdapat sedikit darah beku di bahagian kanan kepalanya.

“Berdasarkan pemeriksaan perubatan terhadap Norfazlin mendapati mangsa mengalami gegaran otak selepas pengsan ketika menuruni gelongsor berkenaan, namun tiada kecederaan lain dialami,” katanya.

Jelas beliau, siasatan turut mendapati kedua-dua mangsa dilihat keluar dari gelongsor tanpa pelampung dan tidak memasuki laluan air yang sepatutnya sebelum ditemui dalam keadaan pengsan.

Menurutnya, kejadian itu disedari anak Razita, Nur Sabira Mustaza, 22, yang berada bersama keluarga di taman tema berkenaan sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Ayer Keroh pada jam 11.05 pagi Ahad lalu.

“Siasatan polis bagaimanapun mendapati tiada unsur jenayah dikenal pasti dalam kejadian itu,” katanya.

Terdahulu, kejadian berkenaan tular di media sosial selepas seorang daripada mangsa mendakwa mengalami kecederaan di kepala termasuk darah beku serta bengkak otak susulan insiden tersebut.

Sementara itu, Tourism Melaka menerusi kenyataan di media sosial rasmi memaklumkan Pengurus Besarnya, Nasrul Ahmad turut menziarahi Razita di Hospital Melaka susulan kejadian berkenaan siang tadi.

Difahamkan Razita mengalami kecederaan neurologi, pendarahan kecil di bahagian kepala serta luka kecil di dagu dan kini menerima rawatan serta pemantauan lanjut pihak hospital.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top