PETALING JAYA: Empat rakyat Malaysia yang merupakan kru kapal MV Berkat Tuah yang terkandas di Pelabuhan Hamriyah di Sharjah, Emiriah Arab Bersatu (UAE) sejak Oktober tahun lalu akibat perang di Selat Hormuz tiba di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) pagi ini.
Kesemua mereka tiba di tanah air kira-kira jam 9 pagi selepas sembilan bulan terkandas susulan peperangan yang dilancarkan Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya, Israel terhadap Iran di Asia Barat.
Kementerian Luar berkata, keempat-empat kru kapal itu berjaya dibawa pulang hasil libat urus berterusan dengan pihak berkuasa Sharjah oleh Konsulat Jeneral Malaysia di Dubai dan Jabatan Laut Malaysia.
Katanya, hasil rundingan membawa kepada kebenaran dikeluarkan kepada keempat-empat rakyat Malaysia itu untuk turun daripada kapal berkenaan pada 18 Julai lalu.
“Sebelum ini, seramai empat orang anak kapal warganegara Malaysia yang turut berada di atas kapal tersebut telah pun pulang ke tanah air pada 10 April.
“Pihak Konsulat Jeneral Malaysia di Dubai telah melakukan beberapa lawatan konsulat kepada anak-anak kapal tersebut bagi memastikan kebajikan dan keselamatan mereka sentiasa terpelihara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Wisma Putra, pihak Konsulat Jeneral Malaysia turut berunding dengan pihak berkuasa Sharjah serta menyelaras usaha dengan Jabatan Laut Malaysia dan pemegang taruh berkaitan bagi membolehkan proses kepulangan anak-anak kapal tersebut berjalan secepat mungkin.
“Kerajaan Malaysia turut merakam ucapan terima kasih dan penghargaan kepada Kerajaan UAE di atas bantuan serta kerjasama diberikan dalam menguruskan kepulangan anak-anak kapal tersebut ke Malaysia dengan selamat.
“Kementerian Luar melalui Perwakilan Diplomatik Malaysia di luar negeri sentiasa komited dalam usaha memastikan kebajikan rakyat Malaysia di luar negara sentiasa terpelihara,” katanya. – UTUSAN




