Zurich: FIFA menafikan dakwaan Presiden Persekutuan Bolasepak Diraja Maghribi bahawa negaranya akan menjadi tuan rumah final Piala Dunia FIFA 2030, sambil menegaskan keputusan berhubung venue perlawanan itu masih belum dibuat.
Maghribi akan menjadi tuan rumah bersama Sepanyol dan Portugal bagi kejohanan 2030. Ia menjadi kali kedua negara Afrika menganjurkan perlawanan Piala Dunia selepas Afrika Selatan melangsungkan edisi 2010.
FIFA memberitahu beberapa organisasi media bahawa venue final akan diputuskan pada waktunya.
Fouzi Lekjaa, yang mengetuai badan bola sepak Maghribi, dilaporkan memberitahu peserta yang hadir pada satu perhimpunan politik semalam bahawa negaranya sudah mendapat hak untuk menjadi tuan rumah final berkenaan.
“Bandar Benslimane akan menjadi tuan rumah final Piala Dunia. Sama ada anda suka atau tidak, dan jika ada yang mahu bercakap mengenainya, biarkan mereka bercakap,” kata Lekjaa, menurut terjemahan The Associated Press.
“Bandarnya ialah Benslimane, stadiumnya ialah Stadium Hassan II dan saya berharap Maghribi akan bermain di situ.”
Stadium berkenaan, yang secara rasmi dikenali sebagai Stadium Raja Hassan II, kini dalam proses pembinaan tidak jauh dari bandar Casablanca dan bakal mempunyai kapasiti 115,000 penonton.
FIFA sebelum ini turut menafikan laporan media Britain bahawa presidennya, Gianni Infantino, menjanjikan Maghribi hak menganjurkan final sebagai pertukaran sokongan politik ketika beliau berusaha mendapatkan pemilihan semula tahun depan.
© New Straits Times Press (M) Bhd
