Manjung: Empat lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini, tadi, atas pertuduhan mengedar 503.20 gram dadah jenis methamphetamine, Jumaat lalu.
Tugiman Mistat, 54; Zulkifli Abdul Halim, 40; Mohd Ashiq Mohd Saed, 40 dan Fitri Hafifi Mohd Hassan, 35, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Asma’ Nahdiyya Che Ab Rahim.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada mereka kerana kesalahan itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, kesemua mereka mencapai niat bersama telah didapati mengedar dadah berkenaan di sebuah rumah di Fasa 2D Seri Manjung, kira-kira jam 3.30 petang, 26 Jun lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup, dan jika tidak dikenakan hukuman mati boleh dikenakan hukuman sebat tidak kurang daripada 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Insp Zainarida Emilia Zaidi manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 30 September depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia.
© New Straits Times Press (M) Bhd




