Jom pujuk ahli PAS undi calon BN di Parit Yaani – KJ

Jom pujuk ahli PAS undi calon BN di Parit Yaani – KJ

am@hmetro.com.my

Gambar/ Video Alias Abd Rani

Batu Pahat: Jentera UMNO dan Barisan Nasional (BN) diminta terus mendekati pengundi, penyokong serta ahli PAS dalam kawasan tidak ditandingi parti itu supaya mereka keluar mengundi calon BN.

Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, berkata saranan itu diutarakan kerana beliau bimbang pengundi dan ahli PAS tidak akan keluar mengundi sekali pun arahan dikeluarkan oleh pucuk pimpinan tertinggi PAS untuk undi calon BN.

“Itulah sebab walaupun mereka tidak bertanding, saya minta supaya calon dan juga jentera kita mendekati mereka (PAS) supaya mereka keluar mengundi.

“Kita risau mereka mungkin tak akan keluar mengundi sebab tiada calon daripada parti mereka, jadi ini sangat penting untuk kita mendekati mereka.

“Saya menyebut perkara ini kerana kita menyambut baik kenyataan daripada pucuk pimpinan PAS. Tapi itu belum mencukupi jika tiada pertemuan dengan mereka.

“Kita sendiri kena pergi cari mereka. Kita tak boleh mengharapkan bila ada kenyataan daripada pucuk pimpinan PAS, secara automatik pengundi mereka akan keluar dan memberi sokongan kepada BN.

“Kita kena usaha sendiri, jumpa mereka, minta, rayu dan raih sokongan daripada mereka,” katanya ketika ditemui selepas program ‘Lunch Hour With KJ vs NS’ yang dihadiri calon BN DUN Parit Yaani, Datuk Najib Samuri di Parit Besar, di sini, semalam.

Khairy berkata, beliau berharap keputusan itu diterjemahkan dalam bentuk sokongan padu kepada calon BN yang datang bukan hanya daripada pengundi sendiri tetapi pengundi atas pagar serta mereka menyokong PAS.

Katanya pada masa sama berkata, jentera BN juga diingatkan agar terus mendekati pengundi bukan Melayu yang tidak berpuas hati terhadap pimpinan di peringkat persekutuan.

“Kali ini kita juga mengharapkan sokongan meningkat dari kalangan pengundi bukan Melayu. Bukan apa, ia penting kerana kita tidak mahu terlalu berat sebelah kepada satu pihak sahaja.

“Kita perlu memastikan contohnya di DUN Parit Yaani, kita ada kira-kira 45 peratus pengundi bukan Melayu. Jadi kita perlu dekati mereka seramai mungkin.

“Ada kekecewaan dalam kalangan pengundi bukan Melayu, terutamanya pengundi Cina terhadap PH (Pakatan Harapan)…terhadap DAP, sebab itu DAP dapat kosong dekat Sabah.

“Dalam keadaan orang (pengundi) tak puas hati ini, janganlah kita harap automatik mereka akan bagi undi kepada BN. Orang yang kecewa ini satu hal tapi kita kena pastikan mereka suka pada kita. Dia kecewa kepada orang lain, satu hal.

“Walaupun dia kecewa (pada PH) tak semestinya dia suka pada kita. Jadi usaha kita dalam tempoh yang 10 hari ini adalah untuk memastikan mereka kecewa dengan PH atau kecewa dengan DAP ini, kita boleh yakinkan untuk memberi peluang kepada BN.

“Kalau kita dapat melaksanakan dengan baik, contohnya di kawasan seperti Parit Yaani, Insya Allah, kita memperolehi keputusan yang lebih baik daripada keputusan pilihan raya lalu.” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top