4 tukang simbah cat upahan along dicekup

4 tukang simbah cat upahan along dicekup

am@hmetro.com.my

Georgetown: Empat ahli sindiket pinjaman wang tanpa lesen atau along ditahan kerana disyaki aktif melakukan khianat menyimbah cat di kawasan perumahan sekitar negeri ini.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata lelaki berusia 34 hingga 42 tahun itu ditahan dalam serbuan berbeza di beberapa lokasi di negeri ini, semalam.

Katanya, suspek mengaku melakukan 33 kes simbah cat di Pulau Pinang, Perak dan Kedah.

“Pemeriksaan ke atas telefon bimbit mereka turut menemukan 33 alamat lokasi sasaran,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Hamzah berkata, polis turut merampas sebuah kereta Toyota Vios, lima telefon bimbit, nota ugutan, pita pelekat, topeng muka, cat merah, topi dan dua nombor pendaftaran kenderaan palsu.

Berikutan itu, pihaknya menasihati orang ramai membuat laporan polis sekiranya diganggu atau menerima sebarang bentuk ugutan daripada individu atau sindiket along bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada setahun dan melebihi lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top