yusri.muzamir@bh.com.my
Kuala Lumpur: Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan terus membugar semangat juang masyarakat pelbagai lapisan untuk memartabatkan bahasa, sastera dan budaya bangsa.
Perdana Menteri menerusi kenyataan malam ini, berkata ia selari semangat penubuhan DBP yang diasaskan melalui keringat, keberanian dan kesetiaan pejuang terdahulu untuk membenteng jati diri nusa bangsa negara ini.
“Perjuangan DBP menginjak usia tujuh dekad. Semoga restu pahlawan terus bersemayam dalam sanubari seluruh sahabat dan warga institusi keramat DBP.
“Selamat ulang tahun ke-70 DBP,” kata Menteri Kewangan yang juga Ahli Parlimen Tambun itu.
DBP ditubuhkan pada 22 Jun 1956, hasil perjuangan tokoh bahasa untuk memartabatkan dan mengembangkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Ia ditubuhkan sebagai jabatan kecil dikenali sebagai ‘Balai Pustaka’ di bawah Kementerian Pendidikan di Johor Bahru, Johor, sebelum namanya ditukarkan kepada DBP atas syor Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu III.
Ibu Pejabat DBP kemudian berpindah ke Kuala Lumpur, pada 1957, selain dinaik taraf menjadi badan berkanun melalui Ordinan Dewan Bahasa dan Pustaka 1959.
Menerusi naik taraf itu, DBP diberi kuasa autonomi untuk menggubal dasar khusus, menyusun rancangan pembinaan dan pengembangan bahasa dan sastera serta menjalankan kegiatan penerbitan dan perniagaan buku seperti sektor swasta.
Selain berperanan menyeragamkan ejaan, istilah dan tatabahasa, DBP turut menerbitkan buku, kamus serta bahan bacaan, mengembangkan sastera kebangsaan dan memperkukuh penggunaan bahasa Melayu dalam pendidikan dan pentadbiran.
DBP melalui peranan yang diperhalusi turut membina dan mengemas kini istilah pelbagai bidang, menerbitkan buku, jurnal dan bahan digital serta menyediakan rujukan bahasa melalui Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM).
Selain itu, memanfaatkan platform digital dan media sosial serta memperluas kerjasama bahasa dan sastera di peringkat antarabangsa.
© New Straits Times Press (M) Bhd




