40 lagi menara telekomunikasi di Pensiangan


KOTA KINABALU: Sebanyak 40 unit menara telekomunikasi baharu bakal dibina di kawasan Parlimen Pensiangan sementara 44 unit lagi menara sedia ada akan dinaik taraf kepada rangkaian 4G menerusi Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Arthur Joseph Kurup.

“Projek pembangunan rangkaian telekomunikasi ini dijangka disiapkan pada tahun 2022, …kerajaan sedang mengusahakan pembinaan tambahan menara komunikasi baharu di bawah program JENDELA,” katanya yang juga Ahli Parlimen Pensiangan menerusi satu kenyataan hari ini.

Ini menunjukkan pembangunan infrastruktur telekomunikasi khususnya di kawasan pedalaman Sabah akan terus dipertingkatkan bagi tujuan keselesaan penduduk luar bandar, katanya.

Usaha itu juga bertujuan memastikan bahawa kawasan luar bandar tidak tercicir daripada arus pembangunan dan dapat menikmati kemudahan yang disediakan kerajaan.

“Apabila kerajaan meluluskan projek pembangunan menaik taraf telekomunikasi yang begitu besar sekali, menunjukkan bahawa penduduk luar bandar akan dapat menikmati kemudahan yang disediakan oleh kerajaan.

Ini bertujuan merapatkan jurang perbezaan di antara bandar dengan luar bandar serta jurang perbezaan antara Sabah, Sarawak dengan Semenanjung,” katanya lagi. – BERNAMA

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

Scroll to Top