Kes ingkar SOP turun lagi kepada 205 individu – Utusan Digital

PUTRAJAYA: Jumlah pesalah ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara semalam, turun lagi untuk hari kedua berturut-turut.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, 205 individu dicekup semalam berbanding 246 individu ditahan kelmarin dan 499 individu diberkas pada Rabu lalu.

“Daripada jumlah itu, 193 dikompaun, sembilan direman dan tiga dijamin dengan kes tertinggi adalah tidak memakai pelitup muka sebanyak 70,” katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

Ini diikuti gagal menyediakan alat rekod butiran diri (62), tidak patuh jarak fizikal (25), aktiviti pusat hiburan (18), rentas kawasan tanpa izin (16), premis dibuka lebih masa (enam) dan lain-lain (lapan).

Kesemua dicekup Task Force Operasi Pematuhan diketuai polis yang melakukan sebanyak 63,131 pemeriksaan dan melibatkan penugasan sejumlah 3,292 pasukan di seluruh negara.

Ismail Sabri berkata, 15,113 anggota itu semalam memantau 5,780 restoran, 4,423 pasar raya, 4,236 bank, 3,840 rumah ibadah, 2,439 pasar awam, 2,165 penjaja dan 1,410 kilang.

Turut dipantau ialah 1,607 tempat riadah serta 1,041 pejabat kerajaan selain 1,426 terminal pengangkutan darat, 315 terminal pengangkutan air dan 200 terminal pengangkutan udara.

Seramai 22 pendatang asing tanpa izin juga ditahan semalam melalui Operasi Benteng bagi mengekang jenayah rentas sempadan negara dan membendung penularan kes Covid-19.

“Enam kenderaan darat dirampas selain sejumlah 111 buah bot atau kapal yang dicurigai dikesan berdekatan perairan negara melalui enam aktiviti penglihatan,” katanya.

Op Benteng itu, ujar beliau lagi, turut mengadakan 447 sekatan jalan raya di seluruh negara dengan sembilan melibatkan Agensi Kawalan Sempadan (Aksem) dan 46 dilakukan polis.

Beliau memaklumkan bahawa sejumlah 66 operasi sanitasi awam juga dilaksanakan di negara ini semalam meliputi 20 zon merah, lima zon jingga, 11 zon kuning dan tiga zon hijau.

Katanya, ia melibatkan penugasan seramai 276 anggota bomba selain 190 staf pihak berkuasa tempatan dengan penggunaan sebanyak 56 buah jentera bomba di seluruh negara.

Menyentuh isu kuarantin wajib, seramai 1,460 individu tiba di tanah air semalam dengan kesemuanya diarah untuk menjalani proses mandatori itu di sejumlah stesen kuarantin.

“Sejumlah 7,351 individu terbabit masih lagi menjalani proses kuarantin wajib di sebanyak 77 buah hotel serta 11 institusi latihan awam dan swasta seluruh negara,” kata Ismail Sabri.

Seramai 882 individu terbabit dibawa ke hospital untuk menerima rawatan, manakala 129,348 individu lagi sudah dibenarkan balik ke rumah masing-masing selepas dikuarantin.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pula semalam membuat pemantauan 11 jenis bekalan barangan di 463 peruncit, 128 pemborong dan 29 pengilang.

Penguat kuasa kementerian itu katanya, juga melakukan 2,431 pemeriksaan khas pematuhan SOP dengan hanya dua premis diberi nasihat kerana didapati kurang mematuhi peraturan. – UTUSAN ONLINE