am@hmetro.com.my
Kuantan: Kira-kira 410,000 kenderaan dijangka menggunakan Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) dalam tempoh enam hari bermula hari ini sempena cuti perayaan Deepavali.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Datuk Razali Kassim, berkata daripada jumlah itu, sebanyak 95,000 kenderaan dijangka menggunakan LPT1 pada waktu puncak, Isnin ini.
Katanya, kebiasananya kira-kira 41,000 kenderaan menggunakan LPT1 setiap hari tetapi jumlah itu meningkat sehingga 130 peratus pada perayaan Deepavali.
“Pihak konsesi turut mengeluarkan cadangan waktu perjalanan kepada pengguna kenderaan bagi melancarkan perjalanan pada 18 dan 20 Oktober ini,” katanya pada sidang media selepas Program Advokasi Keselamatan Jalan Raya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang di Plaza Tol Gambang, di sini hari ini.
Hadir sama, Pengarah JPJ Pahang, Syed Ahmad Khirulanwar Alyahya Syed Abdul Rahman.
Sementara itu, Razali berkata, program dilaksanakan untuk meningkatkan kesedaran awam terhadap keselamatan jalan raya, khususnya menjelang musim perayaan.
Katanya, ini kerana jumlah kenderaan di jalan raya akan menunjukkan peningkatan yang ketara.
“Dalam hal ini, keselamatan bukan hanya tanggungjawab pihak berkuasa sahaja tetapi ia adalah tanggungjawab bersama,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




