fidahruzki@bh.com.my
PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini merekodkan kes kematian tertinggi, iaitu sebanyak 44 pesakit meninggal dunia, kali kedua dalam masa seminggu.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kematian hari ini membabitkan 43 rakyat tempatan dan seorang warga asing.
Beliau berkata, mereka mempunyai rekod penyakit kronik.
“Terdapat 44 kes kematian pada hari ini yang membabitkan 26 kes di Selangor, lima kes di Kelantan, empat kes di Sarawak, masing-masing tiga kes di Kedah dan Johor, dua kes di Kuala Lumpur serta satu kes di Negeri Sembilan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dr Noor Hisham berkata, mereka berusia antara 48 hingga 92 tahun dan kebanyakannya mempunyai pelbagai penyakit kronik, terdiri daripada 11 wanita dan 33 lelaki.
Katanya, empat mangsa tidak mempunyai rekod penyakit kronik.
Beliau berkata, KKM turut merekodkan 15 kluster jangkitan baharu COVID-19, dengan lapan daripadanya kluster tempat kerja, empat kluster keagamaan dan masing-masing satu kluster institusi pendidikan Kementerian Pendidikan, institusi pendidikan lain dan kumpulan berisiko tinggi.
Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 1,876 kluster sudah direkodkan, 1,410 kluster sudah tamat termasuk 10 yang ditamatkan hari ini, menjadikan jumlah kluster aktif sebanyak 466 kluster.
© New Straits Times Press (M) Bhd



