46 peratus kes baharu COVID-19 global direkodkan di India

46 peratus kes baharu COVID-19 global direkodkan di India

GENEVA: Kes baharu COVID-19 di India mewakili 46 peratus daripada kes jangkitan yang direkodkan di seluruh dunia minggu lalu.

Menurut perangkaan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), satu daripada empat kematian akibat COVID-19 di seluruh dunia turut berlaku di India.

Berdasarkan epidemiologi mingguan WHO, 5.7 juta kes baharu COVID-19 dilaporkan di seluruh dunia minggu lalu, dengan 93,000 kematian.

India pula mencatatkan hampir 2.6 juta kes baharu iaitu peningkatan 20 peratus berbanding minggu lalu dan 23,231 kematian.

India juga mencatat rekod baharu hampir 4,000 kematian dan lebih 412,000 jangkitan baharu kes COVID-19 dalam tempoh 24 jam.

Mengikut perangkaan Kementerian Kesihatan, 3,980 kematian dicatatkan di India dalam tempoh sehari, sekali gus menjadikan angka korban republik itu melonjak kepada 230,168 kes.

Dengan 412,262 kes positif baharu, jumlah keseluruhan kes COVID-19 dicatatkan di India sejak pandemik itu bermula meningkat kepada 21.1 juta.

Selepas merekodkan 402,000 kes baharu Jumaat lalu, perangkaan kes baharu di India sejak beberapa hari lalu menurun sehingga ke paras 357,000 kes, sebelum kembali melonjak Selasa lalu.

Pengamatan ini berdasarkan perangkaan rasmi, namun pakar berpandangan pandemik COVID-19 di India mungkin lebih meruncing memandangkan banyak kes dan kematian tidak direkodkan susulan kelemahan sistem perkhidmatan kesihatan.

India mewakili 18 peratus daripada keseluruhan penduduk dunia dan wujud petanda bahawa penularan di India kini merebak ke negara jiran.

Nepal merekodkan peningkatan kes baharu pada kadar 137 peratus kepada 31,088 kes minggu lalu, malah keadaan sama berlaku di Sri Lanka.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sudah mengerahkan kakitangan dan sumbernya membantu India menangani pandemik COVID-19.

Negara itu merekodkan purata lebih 350,000 kes baharu setiap hari sejak seminggu lalu, menyebabkan banyak hospital sesak dengan pesakit.

Wakil WHO India, Dr Roderico Ofrin, berkata pendekatan saling mempercayai berupaya mengurangkan peningkatan kes COVID-19, sekiranya India berjaya melakar kemajuan dalam memerangi pandemik itu.

Dengan vaksinasi kini dibuka kepada individu berusia 18 tahun dan 165 juta sudah menerima suntikan imunisasi, beliau percaya suntikan pelalian adalah antara jalan penyelesaian bagi mengawal beberapa faktor menyumbang kepada penularan.

India berdepan peningkatan ketara kadar jangkitan dan kematian berikutan COVID-19, sekali gus menyebabkan pakar gusar pandemik kesihatan itu akan berlanjutan untuk tempoh yang panjang.

Dekan Institut Kesihatan Awam Brown University di Amerika Syarikat, Dr Ashish Jha, juga bimbang kerana penggubal dasar di India percaya pandemik COVID-19 di republik itu akan bertambah baik dalam tempoh beberapa hari akan datang.

“Saya cuba… untuk memberitahu mereka, sekiranya semua berlaku seperti dijangkakan, keadaan akan lebih meruncing untuk tempoh beberapa minggu akan datang dan bakal berlanjutan untuk tempoh lebih lama,” katanya.

Jha berkata penggubal dasar di India perlu memberikan penekanan terhadap langkah kawalan kesihatan awam, termasuk melaksanakan perintah berkurung, saringan, pemakaian pelitup muka dan menghalang sebarang perhimpunan.

Katanya, pendekatan sedemikian akan menyaksikan rantaian penularan jangkitan COVID-19 berupaya diputuskan, sekali gus mengurangkan kadar kes baharu.

India adalah pengeluar terbesar vaksin di dunia tetapi ia kini berdepan kekurangan bekalan suntikan pelalian, kepincangan aspek pengeluaran dan bekalan bahan mentah.

Republik itu kini memberikan suntikan imunisasi kepada sekitar 2.1 juta orang setiap hari atau hanya 0.15 peratus daripada keseluruhan penduduknya. – AGENSI

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top