am@hmetro.com.my
Sungai Petani: Seramai 47 mangsa daripada 22 keluarga dari Kampung Huma di Mukim Merbok di sini terjejas akibat banjir kilat susulan hujan lebat yang melanda hari ini.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Kedah dalam kenyataannya berkata, berikutan itu sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chong Cheng, Tanjung Dawai jam 6 petang tadi.
Kenyataan itu berkata, mangsa yang dipindahkan terdiri daripada 15 lelaki dewasa; 20 wanita dewasa; sembilan kanak-kanak; tiga bayi; enam warga emas dan dua orang kurang upaya (OKU).
Kesemua mangsa dipindahkan ke PPS itu selepas kediaman mereka dinaiki air.
Dalam pada itu, berdasarkan laman Info Public Banjir, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kedah memaklumkan, dua sungai di negeri ini sudah melepasi tahap waspada.
Sungai terbabit adalah Sungai Sedim di Kampung Sedim di daerah Baling dan Sungai Pendang di Pekan Pendang.
© New Straits Times Press (M) Bhd




