Puasa kini menuju garisan penamat. Kita sebagai umat Islam yang diperintah untuk menjalani ibadah ini sepatutnya semakin laju melangkah dan lebih fokus serta berhati-hati supaya tidak membuat kesilapan demi menamatkannya dengan penuh gemilang. Kesilapan yang dimaksudkan ini sebenarnya kita telah pun maklum dan tahu.
Namun, sekiranya kita lalai dan tidak kuat, maka dibimbangi tergelincir juga akhirnya.
Oleh disebabkan itu, Allah SWT sering berpesan kepada kita dalam firman-Nya: “Dan tetaplah memberi peringatan kerana sesungguhnya peringatan itu bermanfaat bagi orang-orang yang beriman.” (al-Dhariyat: 55)
Imam al-Ghazali dalam karya beliau Bidayatul Hidayah menjelaskan tentang kepentingan menjaga adab ketika berpuasa.
Buku ini banyak dipelajari dan ditekuni oleh kebanyakan orang khasnya di Malaysia; menyentuh kepada pembersihan jiwa atau tazkiyatul nafs.
Beliau berkata: “Janganlah engkau menganggap bahawa puasa itu hanya meninggalkan makan, minum dan jimak sahaja. Akan tetapi, puasa adalah lebih luas daripada itu. Dalam hal ini Rasulullah SAW bersabda: “Berapa banyak orang yang puasa, yang ia tidak memperoleh daripada puasanya itu selain daripada lapar dan dahaga”. Maka kesempurnaan puasa itu bahawa engkau menjaga seluruh anggotamu daripada membuat sesuatu yang dibenci oleh Allah Taala. Maka engkau mesti menjaga mata perkara-perkara yang diharamkan dan mesti menjaga lidah daripada berkata-kata dengan perkara yang tidak berfaedah dan menjaga telinga daripada mendengar perkara-perkara yang diharamkan.
Apa yang kita dapat renungi di sini ialah bahawa ramai orang boleh berpuasa, menahan lapar dan dahaga serta segala perkara yang membatalkan puasa, tetapi tidak kurang juga mereka melakukan perkara yang dimurkai Allah SWT.
Mereka mampu berpuasa dalam tempoh begitu lama, namun mereka tidak mampu menjaga mata daripada melihat perkara yang syahwat dan haram walaupun seketika.
Hari ini cabaran berpuasa tidak kurang hebat kerana kita bukan sahaja menghadapi orang sekeliling sahaja, bahkan platform media sosial yang ada turut menyumbang kepada hal sama seperti di Tiktok, Youtube, Facebook, Instagram, Threads, X dan lain-lain.
Kadangkala, mungkin seseorang tidak mempunyai tujuan untuk melihat hal yang haram itu, lalu dalam cariannya secara tidak langsung boleh terjebak dengan kemunculan ‘bunga-bunga’ yang tidak diundang di sekeliling muka terbabit seperti menerusi iklan menayangkan model tidak menutup aurat dan sebagainya.
Bagi lisan dan mulut, agama melarang kita untuk mengumpat, mengadu domba, membohong dan memfitnah orang lain.
Kini, dosa sebegini tidak sahaja berlaku di rumah, pejabat, sekolah, kilang dan lain-lain, ia boleh juga berlaku di internet.
Individu boleh berbohong dan menaburkan fitnah dalam setiap posting melalui video atau caption atau tulisannya terhadap seseorang yang dia benci atau suka.
Dosa ini tersangat mudah dan banyak sekali berlaku hari ini. Dengan jari sahaja untuk menaip atau menyunting di media sosial, perbuatan itu boleh menyebabkan diri orang lain dimalukan atau diangkat.
Ini semua dikira dosa dan menjejaskan pahala puasa seseorang. Selain itu, kita perlu sedar bahawa kadang-kadang kita mencipta pelekat atau sticker tertentu, contohnya dibuat muka ahli politik, pelawak, artis dan lain-lain individu tertentu untuk menjadi ‘bahan gelak’ dan hina ketika berbalas mesej seseorang.
Sticker bergambar mulut ternganga, gigi jongang, kepala botak, telinga capang atau gambar berserta tulisan bernada hinaan begitu banyak digunakan menerusi hantaran dalam platform mesej.
Ia dilihat seolah bersahaja dan biasa. Namun, setiap suntingan (editing) itu sebenarnya sejenis umpatan yang secara tidak sedar akan memburuk-burukkan dan memperendahkan orang lain.
Penulis melihat hal ini sejenis dosa moden yang sudah pun menjadi norma baharu yang dipandang remeh dan dibiasakan. Apabila dunia menjadi moden, dosa juga berbentuk moden.
Orang ramai hanya merasakan dosa apabila seseorang dikaitkan dengan mencuri, merompak, membunuh, merasuah sahaja iaitu yang jelas dan ketara akan kesalahannya.
Zaman dahulu, orang tidak begitu terdedah dengan media sosial seperti hari ini, maka cabarannya agak berbeza tambahan pula ketika berpuasa.
Takwa yang dicari pada bulan Ramadan ‘boleh ke laut’ apabila seseorang tidak berpegang dengan tujuan sebenar pensyariatan puasa.
Imam al-Ghazali juga berkata: “Hendaklah engkau menjaga seluruh anggotamu seperti perut dan kemaluanmu”. Ertinya, puasa sepatutnya dapat mengawal seluruh anggota kita daripada melakukan maksiat kepada Allah, termasuk perut memakan harta dan makanan yang haram.
Hasil rezeki dan kaedah bagi memperolehinya juga sudah moden. Orang berniaga di sana dan di sini dengan pelbagai cara.
Melakukan live di akaun masing-masing tiada siapa yang mampu peduli dan menegur.
Dunia tanpa batas. Mencari rezeki, tetapi aurat tersingkap, tubuh sengaja ditayang, fitnah terbuka, tanggungjawab keluarga terabai, bahasa carutan diulang-ulang, masa berniaga tidak masuk akal dan lain-lain.
Contohnya seorang ibu yang berpenampilan seksi menjual pakaian di lewat malam, meninggalkan suami dan anak-anak tidur sendirian, berbalas-balas mesej dan komen dengan bukan mahram dengan alasan mencari rezeki.
Ada juga yang membuat adegan meminta-minta atau mengemis gift ketika siaran live dalam khalayak seolah pejuang agama.
Sedangkan, ia sebaliknya. Islam mengajar kita berusaha dan bekerja. Itu adalah terbaik.
Boleh jadi orang yang berniaga di bazar Ramadan lebih baik daripada itu. Mereka berpanasan sejak gerai, khemah atau kedai dibuka mencari rezeki.
Namun, tetap diingatkan selalu supaya berlaku jujur dalam jualan. Kualiti makanan perlu seimbang dengan harga yang diletakkan.
Nabi SAW pernah mengkritik orang yang menipu ketika menjual gandum. Bukan itu sahaja, perut yang terlampau kenyang dan penuh turut dikecam.
Makanan makin pelik dan berubah mengikut arus pemodenan. Ia menarik minat untuk dibeli dan dimakan sepuas-puasnya disebabkan viral.
Apabila seseorang makan terlalu banyak ketika berbuka, ia menyebabkan individu menjadi berat dan malas, lalu sukar melakukan ibadah kepada Allah SWT di malam hari.
Seterusnya, program memecahkan syahwat dan nafsu yang sepatutnya terlaksana melalui puasa mungkin terbengkalai.
Sesungguhnya puasa adalah kunci ketaatan dan perisai daripada maksiat. Ia bukan sekadar ibadah jasmani, tetapi proses penyucian rohani.
Dalam era moden yang sarat dengan cabaran digital, menjaga adab puasa menjadi lebih penting supaya Ramadan tidak sekadar berlalu sebagai ritual tahunan, tetapi benar-benar membuahkan takwa yang berpanjangan.
Penulis Pensyarah Jabatan Bahasa Arab Pusat Bahasa dan Pengajian Umum, Universiti Islam Melaka (UIM)
© New Straits Times Press (M) Bhd




