5 ahli DPR sah digantung tugas tugas, tak lagi terima gaji, elaun

5 ahli DPR sah digantung tugas tugas, tak lagi terima gaji, elaun

Jakarta: Lima ahli Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Republik Indonesia bagi penggal 2024 hingga 2029 sah digantung keanggotaan oleh parti masing-masing, lapor Kompas.

Mereka ialah Ahmad Sahroni, Nafa Urbach, Eko Patrio, Uya Kuya dan Adies Kadir.

Tindakan itu sekali gus menyebabkan mereka tidak lagi menerima gaji serta elaun sebagai wakil rakyat.

Keputusan itu dibuat selepas kenyataan dan sikap mereka dianggap menyinggung hati rakyat hingga mencetuskan demonstrasi besar di beberapa daerah.

Mengikut peraturan sedia ada, ahli DPR yang digantung sementara masih layak menerima gaji pokok dan elaun tertentu.

Namun, Fraksi Parti Nasdem, meminta DPR menghentikan gaji, elaun dan semua kemudahan kepada Ahmad Sahroni dan Nafa Urbach.

Ketuanya, Viktor Bungtilu Laiskodat berkata, ia selaras dengan penggantungan dua wakil rakyat itu daripada keanggotaan DPR.

Fraksi Parti Amanat Nasional (PAN) pula, meminta perkara sama terhadap Eko Patrio dan Uya Kuya.

Ketuanya, Putri Zulkifli Hasan menegaskan langkah itu penting bagi menjaga akauntabiliti dan kepercayaan rakyat.

Dalam pada itu, Ketua Fraksi Golkar, Muhammad Sarmuji menyifatkan ketiadaan gaji dan elaun kepada Adies Kadir sebagai kesan logik penggantungan tugas.

Sementara itu, Ketua Mahkamah Kehormatan Dewan (MKD), Nazaruddin Dek Gam mengesahkan sudah menghantar surat rasmi kepada Setiausaha Agung DPR bagi menghentikan gaji dan elaun ahli dewan yang digantung tugas.

“MKD sudah mengirim surat kepada Setiausaha Jenderal (Sekjen) DPR untuk menghentikan gaji dan elaun lain kepada anggota yang digantung tugas,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Sekjen DPR, Indra Iskandar berkata, permohonan itu sudah diterima dan dipersetujui pimpinan DPR.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top