5 checkpoint Israk dan Mikraj

CHECKPOINT (CP) 1: Masjidil Haram

Latar belakang peristiwa ini adalah Tahun Kesedihan (عام الحزن  ). Pada tahun tersebut, Rasulullah diuji dengan:

1. Kematian benteng fizikal; Abu Talib bapa saudaranya.
2. Kematian benteng spiritual; Siti Khadijah isterinya.
3. Dihalau dan dikasari di Taif sehingga gugur darah buat pertama kali.

Advertisement

Sengaja tuhan uji dengan semua itu supaya kebergantungan hanya diletakkan kepada Allah, bukan manusia lain. Ujian perlu dipandang positif, tanda tuhan mengingati kita dan memperingatkan kita untuk mengingatiNya.

CP 2: Masjidil Aqsa

Pemilihan Masjidil Aqsa adalah simbolik hubungkait umat Muhammad S.A.W dengan umat Nabi sebelumnya. Masjidil Aqsa adalah lambang kebanggaan Islam dari kaum Bani Israel. 

Sengaja tuhan pilih supaya umat Islam sentiasa mempedulikan tanah suci ketiga ini. Pejuang Baitul Maqdis dan sekitarnya di Palestin adalah paksi kebenaran di akhir zaman. Sesiapa bersama mereka, maka mereka bersama kebenaran dan begitulah sebaliknya.

CP3: Tujuh lapisan langit

Nabi dimikrajkan dengan melalui satu persatu lapisan langit. Setiap langit mempunyai cerita tersendiri. Namun tema utamanya adalah gambaran keadaan alam akhirat. 

Sengaja tuhan persaksikan situasi akhirat supaya kita sentiasa memikirkan alam tersebut. Walaupun masih hidup di dunia, tapi cara hidup di dunia menentukan nasib kita di akhirat.

CP4: Sidratul Muntaha

Nabi bertemu Allah S.W.T. Mengubat duka dan melepas rindu kekasih. Sebelum pulang, Allah bagi cenderamata kenang-kenangan berbentuk solat.

Sengaja Allah syariatkan solat dengan upacara sangat berprestij berbanding ibadat lain, supaya manusia faham kepentingan solat dalam hidup. Solat tiang agama. Mendirikan solat bermakna mendirikan agama. Meninggalkan solat bermakna meruntuhkan agama.

CP5: Makkah

Siapa tak teruja dapat melancong ke langit tertinggi dan berjumpa dengan zat Maha Agung? Nabi terus ceritakan pada umatnya. Malang sekali, amat sedikit yang percaya bahkan peristiwa itu menjadi hujah menafikan kebenaran Islam. Israk dan Mikraj di luar logik akal.

Sengaja tuhan jadikan peristiwa ini ajaib, supaya kita mengerti bukan semua urusan agama boleh dijustifikasikan dengan logik. Itulah makna iman; percaya dan yakin perkara-perkara yang tidak mampu dibuktikan dengan keterbatasan ilmu akal manusia. Hanya wahyu yang jadi pegangan mutlak.

Boleh rujuk rakaman Isnin lepas untuk lebih pendetailan: https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=5545217385519110&id=100000927096907

Selamat Israk dan Mikraj!

ALANG IBN SHUKRIMUN
27 Rejab 1442
11 Mac 2021 – HARAKAHDAILY 11/3/2021