asyikin.mat@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Figura ini watak penting menggagalkan percubaan sekumpulan individu menggelarkan diri sebagai Al-Maunah untuk menggulingkan kerajaan secara kekerasan bersenjata pada tahun 2000 di Bukit Jenalik, Sauk, Perak.
Biarpun nyawanya pada masa itu di hujung tanduk kerana diacukan senjata oleh ketua kumpulan terbabit, Mohamad Amin Mohamad Razali ketika pertempuran sebelum berjaya menepis senjata berkenaan dan peluru tersasar.
Bekas Panglima Medan Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Seri Zaini Mohd Said SP (B), 78, ketika itu mengetuai Ops Subuh untuk melumpuhkan dan menawan kumpulan Al-Maunah tanpa berlaku banyak pertumpahan darah.
Ternyata keberanian luar biasa yang dimilikinya menunjukkan semangat perwira yang tinggi dalam dirinya demi tanah air tercinta.
Beliau berkata, peristiwa itu pengalaman sukar dilupakan sepanjang 36 tahun berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
“Ia operasi yang sukar kerana kumpulan ini agak agresif dan merbahaya kerana bersenjata termasuk yang ‘dicuri’ bersama ribuan peluru dari Kem Rejimen 304 Askar Wataniah, Gerik, Perak.
“Namun bersyukur dapat melaksanakan operasi ini dengan baik hasil kerjasama antara ATM bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), meskipun dilakukan dalam tempoh singkat selama lima hari,”katanya kepada Harian Metro.
Zaini berkata, kejayaan ini paling bermakna kerana dapat menawan Mohamad Amin (ketua Al-Maunah) dan pengikutnya hidup-hidup tanpa pertumpahan darah.
“Semasa peristiwa menggemparkan negara ini tercetus ada banyak kontroversi berlaku tetapi hingga kini tiada yang mengetahui kisah sebenar.
“Meskipun tragedi ini sudah berlalu 24 tahun, tetapi ianya perlu ‘dihidupkan’ supaya sejarahnya diketahui ramai, terutama generasi muda.
“Ini supaya mereka menghargai jasa perwira yang memperjudikan nyawa sendiri demi mempertahankan keselamatan negara, meskipun ada tewas dalam perjuangan,” katanya.
Menyentuh kemerdekaan negara ke-67 tahun ini, Zaini berkata, beliau mengharapkan kemerdekaan dan kemakmuran negara terus berkekalan serta Malaysia bertambah maju.
“Saya sangat bersyukur kerana masih berpeluang meraikan kemerdekaan negara pada usia yang hampir mencecah 80 tahun.
“Saya menyaksikan sendiri bagaimana transisi Malaysia sejak 31 Ogos 1957 hingga kini daripada aspek pembangunan yang sudah mencapai banyak kemajuan hingga disegani negara luar,” katanya.
Beliau bangga menjadi anak Malaysia kerana rakyatnya yang berbilang kaum, agama dan budaya dapat menjalani kehidupan dalam suasana harmoni, meskipun pernah terjadi tragedi rusuhan kaum pada 13 Mei 1969.
“Selain itu turut berbangga kerana sepanjang menganggotai ATM dapat membantu mempertahankan negara menghadapi Konfrantasi Indonesia, pemberontakan pengganas komunis dan musuh negara yang lain”, katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




