nfazlina@nstp.com.my
Kota Bharu: Tabung Kecemasan Kebakaran Gok Kapur akan dibuka dalam masa terdekat bagi membantu mangsa kebakaran di Kampung Cina, di sini, yang memusnahkan 27 rumah, tengah hari tadi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijang Datuk Dr Izani Husin turut menyeru kepada semua yang berkemampuan agar sama-sama menghulurkan sumbangan mengikut kemampuan masing-masing.
“Sebaik mendapat perkhabaran berhubung kebakaran berkenaan, saya terus turun meninjau lokasi kejadian dan bertemu sendiri dengan mangsa-mangsa yang terbabit.
“Melihat wajah-wajah mereka yang masih terkejut dan pilu benar-benar menyentuh hati. Dalam sekelip mata, mereka kehilangan tempat berteduh dan harta benda.
“Kata sabar tidak akan mampu mengembalikan apa yang sudah musnah. Namun sebagai orang beriman, kita yakin setiap ujian yang Allah turunkan pasti ada hikmahnya.
“Saya berpesan kepada mereka agar terus kuat menghadapi dugaan ini dan jangan berasa keseorangan kerana ramai yang bersedia menghulurkan bantuan,” katanya menerusi kenyataan di sini.
Terdahulu Harian Metro melaporkan, kebakaran di Kampung Cina, Gok Kapur di sini memusnahkan 27 rumah kediaman membabitkan 130 mangsa.
Bagaimanapun tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan dan pihak bomba berjaya menyelamatkan 18 buah rumah di sekitar kawasan terbabit.
© New Straits Times Press (M) Bhd




