Beijing: Sepasukan pakar bedah plastik China baru-baru ini melaporkan kes pelik seorang wanita berusia 33 tahun yang kehilangan tidak kurang daripada lima kanta lekap di belakang mata kirinya.
Oddity Central melaporkan, pesakit dikenali sebagai A datang ke Hospital Pembedahan Plastik Akademi Sains Perubatan China, dekat sini untuk mendapatkan rawatan atrofi hemifasial bagi memperbaiki simetri mukanya.
Atrofi hemifasial adalah keadaan yang mana tisu lemak di dalam mata menjadi atrofi dan bola mata mengecut.
Hasil pemeriksaan awal mendapati bahagian kiri mukanya atrofi dan bola mata kirinya sedikit cekung.
Selepas memeriksa wajah wanita itu dengan teliti, pasukan perubatan memutuskan untuk menggunakan cantuman lemak autologous bagi mengurangkan kesan keadaannya.
Mereka perlu mencari bukan satu tetapi lima kanta lekap yang berbeza ketika mencantumkan lemak ke ruang kosong di belakang bola mata.
Pesakit itu memberitahu doktor dia kehilangan kanta lekap dalam beberapa bulan yang lalu, tetapi tidak pernah membayangkan ia tersangkut di matanya.
Wanita itu memakai kanta lekap selama beberapa tahun dan atrofi hemifasial mencipta ruang yang cukup untuk ia hilang.
Apabila lemak disuntik di belakang mata A, ia menolak keluar lima kanta lekap berbeza yang disangka terjatuh secara tidak sengaja.
“Mujurlah, dalam kes A, tiada masalah disebabkan oleh kanta lekap yang tinggal di matanya.
“Tapi jika ia berterusan untuk masa yang lama, risiko kesan sampingan seperti luka kornea dan jangkitan mikrob akan meningkat,” kata pasukan perubatan itu.
Kes pelik itu menarik perhatian pakar oftalmologi dan komuniti perubatan lain kerana ia dilaporkan yang pertama di mana beberapa kanta lekap disahkan tersembunyi di dalam konjunktiva.
Menariknya, A tidak pernah melaporkan sebarang gejala luar biasa manakala lima kanta lekap itu tersangkut di belakang bola mata kirinya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




