Guangzhou: Tindakan pantas seorang penumpang wanita mengambil alih stereng sebuah kenderaan e-hailing selepas pemandunya tiba-tiba diserang sakit perut yang teruk dan tidak lagi mampu memandu berjaya menyelamatkan nyawa lelaki itu, lapor South China Morning Post.
Menurut media sama, kejadian berlaku ketika He Sumin dalam perjalanan ke kawasan Shunde dari Guangzhou, Wilayah Guangdong, baru-baru ini.
Ketika memandu, wajah pemandu itu tiba-tiba menjadi pucat sebelum memegang bahagian bawah tulang rusuk kanannya sambil mengadu mengalami kesakitan yang amat teruk.
Pemandu itu berkata, dia tidak pernah mengalami kesakitan sedemikian sebelum ini, selain memaklumkan tidak lagi mampu memandu dengan selamat dan meminta bantuan untuk keluar dari lebuh raya.
Menyedari keadaan pemandu itu serius, He segera mengambil alih stereng, mengawal kenderaan dan membatalkan destinasi asal sebelum memandu ke hospital terdekat.
Pemandu itu dilaporkan menahan kesakitan dalam keadaan meringkuk di tempat duduk penumpang sepanjang perjalanan ke hospital.
Sebaik tiba di hospital, pemandu itu hampir tidak sedarkan diri sebelum pemeriksaan kecemasan mengesahkan dia menghidap kolesistitis akut.
Dalam pada itu, pasukan perubatan mengesahkan pundi hempedunya mengalami keradangan yang teruk sebelum menjalankan pembedahan kecemasan dengan segera.
Doktor yang merawat berkata, jika mereka tiba lewat di hospital lewat, terdapat risiko pundi hempedu pesakit boleh pecah atau mengalami sepsis, sekali gus menyifatkan keadaan itu sebagai kecemasan yang mengancam nyawa.
Kolesistitis akut adalah penyakit yang menyebabkan keradangan pada pundi hempedu dan kebanyakannya berpunca daripada batu hempedu yang menyekat aliran hempedu.
Penyakit itu boleh menyebabkan kesakitan teruk pada bahagian kanan atas abdomen, demam dan loya.
He yang juga seorang penulis blog merakam video kejadian itu sebagai bukti sekiranya berlaku kecemasan sebelum memuat naiknya ke akaun media sosial miliknya.
Video itu tular dengan meraih lebih 2.5 juta tanda suka, manakala warganet memuji tindakan tenang He yang disifatkan berjaya menyelamatkan nyawa pemandu berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




