Kuala Lumpur: Lima kementerian akan mengadakan mesyuarat dalam beberapa minggu lagi bagi meneliti laporan mengenai isu ketirisan subsidi diesel yang menjangkau hampir RM10 bilion, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub.
Beliau berkata selain kementeriannya, empat lagi kementerian yang terlibat ialah Kementerian Kewangan; Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Pertahanan (MINDEF) serta Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS).
“Ops TIRIS dilancarkan bagi membanteras (penyelewengan diesel bersubsidi) dan saya akan meneliti laporan itu nanti. Pada masa yang sama pasukan khas juga telah diwujudkan, jadi biarkan mereka lakukan siasatan,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 di Dewan Rakyat, hari ini.
Selain itu Salahuddin berkata beliau sudah mengarahkan satu pasukan bertindak khas yang diketuai Ketua Setiausaha Kementeriannya Datuk Azman Mohd Yusof ditubuhkan serta-merta bagi menangani isu ketirisan subsidi diesel itu.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2023 memaklumkan wujud ketirisan dalam subsidi diesel dengan anggaran hampir RM10 bilion nilai subsidi diesel dipercayai diseleweng tahun lalu.
Sementara itu, Salahuddin juga berkata Kafe Rahmah untuk mahasiswa universiti di negara ini akan diperkenalkan selepas Hari Raya Aidilfitri ini di bawah inistiatif Payung Rahmah.
Katanya ia adalah kesinambungan daripada program Menu Rahmah, Bakul Rahmah, Pakej Rahmah dan Jualan Rahmah yang sedang dilaksanakan.
Menurutnya sehingga kini 1,193 pengusaha kedai makanan daripada pengusaha bawah pokok sehingga restoran mewah dan terkemuka terbabit dalam inisitif Menu Rahmah.
Persidangan dewan bersambung esok.
© New Straits Times Press (M) Bhd




