Israel naikkan bendera di Istana Beaufort, Lubnan

Israel naikkan bendera di Istana Beaufort, Lubnan

Baitulmaqdis: Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz menyatakan pada Ahad, tentera mereka menawan kubu zaman pertengahan strategik Istana Beaufort di selatan Lubnan, ketika operasi darat terhadap kumpulan Hizbullah yang disokong Iran diperluaskan.

“44 tahun selepas Pertempuran Beaufort yang bersejarah dan pada hari memperingati anggota tentera yang terkorban dalam Perang Lubnan Pertama, pasukan kami kembali ke puncak Beaufort dan sekali lagi menaikkan bendera Israel di sana,” kata Katz menerusi saluran Telegramnya.

“Di bawah pimpinan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu dan arahan saya, tentera Israel memperluaskan operasi di Lubnan, menyeberangi Sungai Litani dan menawan Banjaran Beaufort — salah satu lokasi strategik paling penting untuk mempertahankan komuniti di Galilee serta menjamin keselamatan pasukan kami.”

Rakaman AFP pada pagi Ahad menunjukkan bendera tentera Israel dikibarkan di atas kubu berkenaan, sementara bunyi bedilan kedengaran dan asap kelihatan naik dari kawasan sekitarnya.

Kubu itu mempunyai pemandangan luas ke selatan Lubnan, menjadikannya lokasi yang mempunyai nilai strategik tinggi.

Tentera Israel pernah menggunakan istana itu, yang turut dikenali sebagai Qalaat al-Shakif, sebagai pangkalan ketika pendudukan mereka di selatan Lubnan yang berlangsung hampir dua dekad sebelum ia berakhir pada 2000.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top