Nahas helikopter di Long Lellang: Apa kita tahu setakat ini?

Kuala Lumpur: Sebuah helikopter BO-105 yang membawa lima orang, termasuk juruterbangnya, terhempas berhampiran Long Lellang Short Take-Off and Landing Airport (STOLport), Ulu Baram, Sarawak, hari ini.

Helikopter itu sedang mengendalikan penerbangan Perkhidmatan Flying Doctor Services (FDS) ke pedalaman Sarawak.

Berikut apa yang kita tahu setakat ini:

3.58 petang: Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) menerima pemberitahuan mengenai kejadian itu daripada Perkhidmatan Maklumat Penerbangan.

Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) di bawah Kementerian Pengangkutan akan menyiasat kejadian itu di bawah Bahagian XXVI Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016.

6 petang: Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata, polis menggerakkan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) susulan nahas itu.

Beliau berkata, status semua penumpang pesawat masih dalam siasatan.

Zainal berkata, pasukan SAR akan menuju ke lokasi nahas, yang akan mengambil masa kira-kira 10 jam perjalanan darat dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marudi.

7.30 malam: Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mengesahkan bahawa helikopter FDS itu membawa empat kakitangan kementerian dan seorang juruterbang.

Beliau berkata, mereka yang berada di atas helikopter itu terdiri daripada seorang pegawai perubatan, seorang penolong pegawai perubatan dan dua jururawat, yang dalam tugas rasmi.

Dzulkefly berkata, kementerian sedang memantau rapi situasi itu dan bekerjasama dengan pihak berkuasa keselamatan, pasukan penyelamat dan agensi penerbangan berkaitan untuk mendapatkan maklumat yang tepat dan terkini dari tempat kejadian.

Beliau berkata, kementerian juga sedang menghubungi waris terdekat dan ahli keluarga mereka untuk memberikan sokongan yang diperlukan.

8 malam: Nureez Mohd Pauzi, adik ipar Dr Ainul Baraah Kamaruddin, berkata doktor itu dikenal pasti sebagai salah seorang penumpang dalam nahas helikopter itu.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan sudah menghubungi keluarga pada petang tadi untuk memaklumkan kepada mereka bahawa Dr Ainul Baraah sudah meninggal dunia.

Nureez berkata, panggilan itu dibuat kepada suami Dr Ainul, Muhammad Faiz Abdul Malik, kira-kira 4 petang.

8 malam: Layang Layang Aerospace berkata, ia sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa berkaitan susulan nahas helikopter BO-105.

Pengurusnya, Kapten Shahdon Poong berkata, syarikat itu sudah mengaktifkan pelan tindak balas kecemasannya dan menyediakan semua bantuan yang mungkin susulan kemalangan itu.

Berita berkaitan:

Helikopter terhempas: ‘Kami sudah janji dengan pesakit’, kata penumpang sebelum berlepas

Helikopter terhempas: ‘Perginya ketika berkhidmat membawa rawatan, harapan kepada mereka yang memerlukan’

Helikopter terhempas: FDS talian hayat kesihatan penduduk Pedalaman Sarawak

Juruterbang, empat penumpang helikopter terhempas disahkan maut

‘Arwah rancang sambung belajar kerana mahu jadi doktor pakar’ – Bapa Dr Ainul

Layang Layang Aerospace bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa berkaitan susulan nahas helikopter BO-105

Helikopter terhempas: ‘Baru dua hari anak balik ke Sarawak, hari ini kami dapat berita dia meninggal dunia’

Helikopter FDS terhempas bawa empat petugas KKM – Dzulkefly

Helikopter terhempas: Keluarga sahkan Dr Ainul meninggal dunia

Helikopter terhempas: PDRM gerak operasi SAR, 10 jam melalui darat

Helikopter ‘flying doctor’ terhempas di Sarawak, status 5 dalam pesawat belum diketahui

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top